
KUALA LUMPUR 17 Dis – Penyambungan semula penerbangan langsung Xiamen Airlines bagi laluan Hangzhou–Kuala Lumpur dilihat sebagai langkah penting dalam merangsang aliran pelancongan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China, selaras dengan persiapan negara untuk kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Dalam kenyataan hari ini, Tourism Malaysia berkata penerbangan MF8713 yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 2.45 petang menandakan kembalinya operasi laluan Hangzhou–Kuala Lumpur selepas digantung sejak 2018.
Menurut Tourism Malaysia, penerbangan tersebut dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 berkapasiti 169 tempat duduk, sekali gus membuka akses lebih luas dari wilayah Timur China, khususnya Hangzhou dan kawasan tadahannya, ke Malaysia.
Ketibaan penerbangan itu disertai majlis sambutan rasmi yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Samuel Lee Thai Hung; Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysi, Nuwal Fadhilah Ku Azmi; Pengurus Besar Xiamen Airlines, Gao Ya Shuang; serta wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Samuel Lee berkata, laluan langsung tersebut memudahkan pergerakan pelancong dari Timur China dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan pelancongan serta ekonomi antara Malaysia dan China.
“Penerbangan langsung Hangzhou–Kuala Lumpur ini memperluaskan rangkaian hubungan udara dan memudahkan perjalanan pelancong China ke Malaysia, di samping merangsang interaksi perniagaan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara,” katanya.
Menurut beliau, penyambungan semula laluan ini hadir pada masa strategik menjelang pelancaran TMM2026, yang dijangka bermula secara rasmi dalam tempoh kurang sebulan.
Tourism Malaysia berkata, peningkatan kebolehcapaian melalui laluan ini membolehkan pelancong China menikmati pelbagai tarikan Malaysia merangkumi warisan budaya, pengalaman kulinari, keindahan alam semula jadi serta destinasi pulau.
Kempen TMM2026 akan dimulakan dengan sambutan TMM2026 Perayaan Malam Tahun Baru di Kuala Lumpur pada 31 Disember 2025, yang menampilkan pelbagai aktiviti termasuk acara kira detik rasmi, festival dan persembahan kebudayaan.
Kerajaan menyasarkan ketibaan 47 juta pelawat antarabangsa serta peningkatan ketara dalam pelancongan domestik menerusi kempen berkenaan.
Menurut Tourism Malaysia, peluasan rangkaian penerbangan antarabangsa merupakan antara elemen penting bagi memastikan kelancaran perjalanan ke Malaysia, khususnya dari pasaran utama seperti China.
Dari Januari hingga Ogos 2025, Malaysia merekodkan 3.3 juta ketibaan pelawat dari China, meningkat 27.5% berbanding tempoh sama pada 2024, mencerminkan daya tarikan berterusan Malaysia serta kepentingan strategik pasaran China kepada sektor pelancongan negara.
Tourism Malaysia berkata, usaha meningkatkan hubungan udara secara konsisten akan terus menjadi fokus bagi menempatkan Malaysia sebagai destinasi pilihan serantau dan pintu masuk utama ke ASEAN. - DagangNews.com



