Xiaomi 13 & Xiaomi 13 Pro: Maklumat penjualannya di Malaysia

Digital
27 Feb 2023 • 7:02 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Tidak sampai 24 jam pelancarannya di pentas antarabangsa, Xiaomi telah melancarkan siri Xiaomi 13 di Malaysia pula. Pengumuman di Malaysia ini lengkap dengan tarikh jualan, harga rasmi, serta promosi tempahan awal.

Bagaimanapun, hanya ada dua model yang dilancarkan di Malaysia iaitu Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Tiada khabar tentang kedatangan Xiaomi 13 Lite. Mungkin tidak akan dijual di Malaysia, atau mungkin akan tiba di kemudian hari.

Harga rasmi dan Google One percuma

Saban tahun, harga telefon pintar flagship Xiaomi semakin mahal. Tidak mengejutkan apabila siri Xiaomi 13 kini dijual menghampiri RM5,000. Hanya ada satu varian Xiaomi 13 dijual di Malaysia, dan dua varian Pro. Berikut adalah harga rasminya:

  • Xiaomi 13 (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,499
  • Xiaomi 13 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM4,599
  • Xiaomi 13 Pro (RAM 12GB + Storan 512GB) – RM4,999

image is not available

Seperti yang diumumkan di pentas antarabangsa, semua pembeli Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro akan menerima langganan Google One Premium 2TB serta VPN percuma, selama 6-bulan. Langganan ini bernilai RM42.99/bulan, bersamaan dengan RM257.94 bagi 6-bulan.

Promosi tempahan awal

Tetapi jika anda benar-benar berminat, Xiaomi Malaysia menawarkan hadiah yang lumayan untuk pembeli terawal. Tempahan awal dibuka dari 27 Februari sehingga 7 Mac 2023, dengan tawaran hadiah yang berbeza. Pengguna boleh memilih untuk mendapatkan diskaun di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee, atau menerima TV percuma di Xiaomi Store.

image is not available

Untuk tempahan awal di Lazada dan Shopee, pembeli Xiaomi 13 Pro 256GB akan menerima baucar diskaun RM799, manakala Xiaomi 13 mendapat baucar diskaun RM699. Baucar ini boleh digunakan untuk membeli produk AIoT Xiaomi sahaja, tanpa pembelian minima. Selepas 7 Mac, pembeli Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro hanya mendapat hadiah percuma Redmi Buds 4 bernilai RM239.

Jika membuat tempahan awal di Xiaomi Store pula, pembeli akan menerima TV Pintar Xiaomi TV P1 43-inci (bernilai RM1,799) percuma untuk Xiaomi 13, dan TV Pintar Xiaomi TV A2 58-inci (bernilai RM2,799) percuma bagi Xiaomi 13 Pro 256GB. Selepas 7 Mac, pembeli akan mendapat hadiah percuma Redmi Buds 4 bernilai RM239.

image is not available

Tetapi tawaran lebih menarik adalah untuk model terbaik Xiaomi 13 Pro dengan storan 512GB. Dengan menambah RM1,000, pengguna boleh mendapatkan Pakej Edisi Terhad Xiaomi 13 Pro yang bernilai RM7,496. Pakej ini mengandungi:

  • Xiaomi 13 Pro 512GB (bernilai RM4,999)
  • Xiaomi Watch S1 Pro (bernilai RM1,399)
  • Xiaomi Buds 4 Pro (bernilai RM899)
  • Xiaomi 33W Powerbank 10,000mAh Pocket Edition Pro (bernilai RM199)

image is not available

Kepada yang berminat membeli Xiaomi 13 Pro serta mahukan semua produk Xiaomi yang disebut di atas, pakej edisi terhad berharga RM5,999 ini memang terbaik. Tetapi ia ditawarkan dalam unit terhad, jadi harus cepat mendapatkannya. Tempahan ini dibuka pada 27 Februari 2023 di sini, selagi stok masih ada.

Semua peranti Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro datang dengan jaminan selama 2 tahun. Selain itu, Xiaomi juga menjanjikan kemaskini MIUI sebanyak 3 kali dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun untuk peranti ini.

Untuk mengenali dengan lebih lanjut, rujuk laporan kami mengenai pelancaran Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro di sini.

Bacaan Berkaitan