Xiaomi 13T Tetiris Sepenuhnya – Redmi K60 Ultra Versi Global

TechnologyDigital
25 Aug 2023 • 11:06 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Bukan rahsia bahawa Redmi K60 Ultra akan dilancarkan di peringkat global sebagai Xiaomi 13T. Peranti ini sudahpun memasuki pangkalan data SIRIM seminggu yang lalu mengesahkan pelancarannya di Malaysia akan berlaku dalam masa terdekat. Yang menjadi misteri selama ini ialah wajah sebenar Xiaomi 13T.

image is not available

Walaupun peranti belum dijual, ia telahpun tertiris awal menerusi laman YouTube Eufracio López 502 dari Guetamala. Dari segi rekaan tiada perubahan dilakukan dengan hanya jenama Redmi di belakang ditukar kepada jenama Xiaomi sahaja. Diharap tiada perubahan besar dilakukan pada bahagian dalaman kerana K60 Ultra ialah peranti yang cukup menarik.

image is not available

Di China Redmi K60 Ultra hadir dengan skrin 6.67″ OLED 144H, cip Dimensity 9200+, memori sehingga 24GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.0, bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan ultra pantas 120W dan kemampuan kalis air IP68.

image is not available
Redmi K60 Ultra

Sementara itu sistem trikamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP,ultra sudut lebar 8MP dan kedalaman 2MP. Di hadapan pula sebuah kamera 16MP pula digunakan dengan ia diletakkan dalam sebuah lubang kamera pada skrin. Dengan cip berkuasa, K60 Ultra boleh merakam video pada resolusi 8K 24FPS. Lebih menarik lagi di China K60 Ultra menerima sokongan empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti.