Pelancaran hari ini turut menyaksikan Xiaomi 14 Ultra mula ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Ia merupakan satu lagi peranti kelas mercu yang memberi tumpuan terhadap keupayaan kamera dengan kerjasama Leica.

Selain itu disertakan kemasan tubuh premium dengan gabungan binaan kulit vegan di panel belakang, sementara itu skrin melengkung sepenuh di panel hadapan. Bingkai pula diperbuat daripada logam yang dikatakan mempunyai ketahahan lebih baik.


Menyentuh aspek spesifikasi, peranti ini menggunakan skrin LTPO AMOLED WQHD+ sebesar 6.73-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Dalam masa sama paparan juga menawarkan ciri tambahan lain seperti sokongan gamut warna DCI-P3 dengan kecerahan puncak 3000nits, HDR10+, Dolby Vision dan DC Dimming.


Tunjang utamanya dijana oleh cip Snapdragon 8 Gen 3, memori 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Diikuti juga dengan pelancar baharu HyperOS dan bateri sebesar 5,000mAh. Ia turut boleh dicas semula menggunakan port USB-C yang juga menyokong pengecasan berwayar 90W dan nirwayar 80W.


Paling menonjol mengenai peranti ini sudah tentulah pada sistem kamera yang digunakan. Ianya didatangkan dengan kanta Leica Vario-Summilux bersama persediaan kuad-sensor 50MP. Pertama ialah 50MP 1-inci untuk utama yang menggunakan sensor imej Sony IMX LYT-900 baharu bersama teknologi Dual Native ISO Fusion Max untuk julat dinamik yang mengagumkan. Ia juga menawarkan kebolehan aperature yang boleh diubah diantara f/1.63 hingga f/4.0.


Seterusnya diikuti pula 50MP untuk telefoto yang menggunakan sensor imej Sony IMX858 dengan OIS dan kemampuan zum optikal 3.2X. Kemudian terdapat juga lensa telefoto periskop 50MP dengan OIS yang menawarkan zum optikal sehingga 5X, dan akhir sekali lensa ultra lebar 50MP dengan bukaan aperature f/1.8.
Kamera peranti juga boleh merakaman video maksimum 8K/30fps, di samping mempunyai mod makro serba baharu dengan jarak minimum 5cm. Sementara itu kamera swafoto pula sebesar 32MP yang juga menyokong rakaman maksimum 4K.
Lain-lain spesifikasi termasuklah pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, NFC, kalis air IP68, pemancar infra merah dan sokongan Wi-Fi 7. Sebanyak dua warna yang boleh dipilih seperti Black dan White.

Xiaomi 14 Ultra dijual di Malaysia pada RM5,199 sebuah dan sesi pratempah telah dibuka bermula hari ini bagi mereka yang berminat. Pembelian yang dibuat diantara 8 hingga 21 Mac 2024 akan diberi hadiah menarik bernilai sehingga RM2,346.94. Ianya terdiri dengan Photography Kit (RM799), 6 bulan langganan Google One (RM50.94), setahun jaminan waranti tambahan (RM599) dan waranti tukar ganti skrin retak selama 6 bulan (RM299).

Sementara itu pembelian yang dibuat selepas 21 Mac 2024 pula akan menerima hadiah bernilai RM1,747.94. Ia termasuklah 6 bulan langganan Google One (RM50.94), setahun jaminan waranti tambahan (RM599) dan waranti tukar ganti skrin retak selama 6 bulan (RM299).
