Xiaomi 14T dan Xiaomi 14T Pro Dilancarkan Dengan Lensa Leica

TechnologyDigital
26 Sep 2024 • 8:56 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Xiaomi 14T dan Xiaomi 14T Pro dilancarkan secara rasmi sebentar dalam dalam sebuah acara yang berlangsung di Berlin Jerman. Seperti dijangka, kamera siri T tahun ini juga hadir dengan sistem kamera Leica yang sebelum ini ditawarkan pada Xiaomi 14 dan Xiaomi 14 Ultra.

image is not available

Xiaomi 14T Pro ialah model paling mercu dengan ia dilengkapi skrin 6.67″ CrystalRes AMOLED dengan kadar sedar semula 144Hz dan sistem HDR Dolby Vision. Ia dijana cip Dimensity 9300+, memori 16GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512GB dan bateri pula sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 120W dan juga pengecasan nirwayar 50W.

Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra lebar 12MP dan lensa telefoto 50MP. Di hadapan pula sensor 32MP digunakan pada kamera swafoto. Ketiga-tiga kamera utama di b belakang peranti dilengkapi lensa Leica Summilux.

image is not available

Xiaomi 14T pula ialah model dengan skrin 6.67″ CrystalRes AMOLED dengan kadar sedar semula 144Hz dan sistem HDR Dolby Vision. Ia menggunakan cip Dimensity 8300 Ultra, memori 16GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512GB dan bateri pula sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 67W. Tiada sokongan pengecasan nirwayar pada model ini.

Kamera utama juga menggabungkan lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra lebar 12MP dan lensa telefoto 50MP. Di hadapan pula sensor 32MP digunakan pada kamera swafoto. Sekali lagi ketiga-tiga kamera utama dilengkapi lensa Leica Summilux.

image is not available

Kedua-dua peranti menggunakan sistem operasi Xiaomi HyperOS berasaskan Android 14. Terdapat juga dilengkapi pengimbas cap jari bawah skrin, pemancar infra merah, speaker stereo dan kemampuan kalis air serta debu IP68.

Ciri AI juga diperkenalkan pada kedua-dua peranti seperti ciri alih bahasa masa nyata, kemampuan melakukan suntingan video automatik dijana AI, dan aplikasi rakaman audio pula boleh menghasilkan transkrip yang kemudian dirumuskan secara automatik. Menerusi kerjasama Google, sokongan Circle to Search dan Google Gemini akhirnya tiba pada peranti keluaran Xiaomi buat pertama kali.

image is not available

Pada fungsi kamera, tera air Leica dan juga sistem warna Leica Vibrant serta Leica Authentic diberikan sama seperti siri Xiaomi 14 yang lain. Menurut Xiaomi, kekuatan siri ini ialah mod potret dan malam yang cukup baik bagi sebuah kamera peranti mampu milik. Satu penambahbaikan yang dilakukan pada siri 14T ialah ciri menangkap gambar yang lebih pantas khususnya dalam keadaan gelap bagi mengelakkan isu gambar kelihatan kurang tajam.

Harga jualan Xiaomi 14T bermula Euro 649 (~RM3000) untuk model 12/256GB manakala Xiaomi 14T pula bermula Euro 799 (~RM3694) untuk model 12/256GB. Untuk harga tempatan kita perlu menanti selepas Xiaomi 14T dan 14T Pro dilancarkan esok.