Pelbagai perkara telah dilakukan bagi memastikan pengguna Android dapat menikmati pengalaman penggunaan ekosistem Apple. Oppo, Huawei, Samsung dan banyak lagi semuanya cuba menjadikan ekosistem mereka lebih mesra tetapi terbaru Xiaomi mungkin telah menemui jalan penyelesaian.

Xiaomi HyperConnect adalah ciri baharu yang membenarkan pengguna Xiaomi 15 dan Xiaomi 15 Pro dengan HyperOS 2.0 menggunakan telefon pintar mercu ini bersama dengan iPhone, iPad dan juga MacBook. Pada iPhone dan iPad, pengguna Xiaomi boleh kongsi fail dengan pantas seakan AirDrop dan turut boleh membuka fail Keynote tanpa perlu diubah kepada format lain. Kemudian dengan MacBook, skrin peranti Xiaomi 15 bolehj dikongsi terus seperti iPhone.
Berdasarkan video yang dikongsi oleh Lei Jun, penggunaannya adalah sangat lancar dan pantas. Cuma berdasarkan apa yang saya lihat, jelas sekali setiap peranti Apple ini memerlukan satu aplikasi khas. Apa-apa pun butirannya masih tidak jelas, cuma buat masa ini ia hanya terhad kepada pengguna di China dan tiada informasi untuk pengguna pasaran global.

