Minggu ini, Xiaomi Malaysia telah memperkenalkan dua perkakasan rumah pintar baru untuk pasaran tempatan, yang terdiri daripada siri televisyen pintar Xiaomi TV S Mini LED yang hadir dalam pilihan saiz 55 inci ke 85 inci dan juga alat pendingin hawa Mijia Air Conditioner Eco Inverter.
Bermula dengan penawaran televisyen pintar, Xiaomi TV S Mini LED menggunakan panel QD-Mini LED pada resolusi 4K, menggerakkan sistem operasi Google TV dan hadir dengan pilihan saiz 55 inci, 65 inci, 75 inci dan 85 inci.

Paparan-paparan ini hadir dengan nilai kecerahan setinggi 1200 nit dan kadar segar semula 120Hz, sesuai untuk digunakan sebagai televisyen ruang tamu, teater rumah dan juga bersama-sama dengan konsol permainan ataupun PC ruang tamu yang berkuasa untuk pengalaman gaming yang terbaik.

Jika anda membeli televisyen Xiaomi TV S Mini LED pada saiz 75 inci ataupun 85 inci, pihak Xiaomi Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua model ini hadir dengan tapak kaki besar yang membolehkannya diletakkan di atas lantai, memberikannya rupa seperti ia sebuah “bingkai lukisan” bersaiz besar.

Produk kedua, pendingin hawa Mijia Air Conditioner Eco Inverter pula merupakan penawaran penghawa dingin terbaru dari Xiaomi yang hadir dengan ciri “inverter” yang memastikan bilik anda sentiasa dingin, tetapi dengan penggunaan kuasa elektrik yang lebih rendah.

Penghawa dingin ini hadir dengan dua pilihan model dengan penggunaan kuasa 1HP dan 1.5HP, dan kedua-dua model ini hadir dengan kebolehan untuk dikawal menggunakan aplikasi Xiaomi Home, dimana pengguna boleh mengawal bilakah penghawa dingin boleh diaktifkan, tempoh masa ia digunakan, dan juga mengawal tetapan suhu pendingin hawa.
Siri televisyen pintar Xiaomi TV S Mini LED dan pendingin hawa Mijia Air Conditioner Eco Inverter sudah mula ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga berikut. Model Xiaomi TV S Mini LED 85 inci akan tiba dalam masa terdekat ini, walaupun tanda harganya sudahpun disahkan.
- Xiaomi TV S Mini LED 55 – RM2999
- Xiaomi TV S Mini LED 65 – RM3999
- Xiaomi TV S Mini LED 75 – RM4999
- Xiaomi TV S Mini LED 85 – RM8999
- Mijia Air Conditioner Eco Inverter 1.5HP – RM1599
- Mijia Air Conditioner Eco Inverter 1.0HP – RM1299


