XOX, KDDI meterai MoU teroka peluang komersial untuk manfaat pelanggan di Malaysia dan Jepun
zulfadli
28/06/2023 - 18:06
KUALA LUMPUR 28 Jun - XOX Com Sdn Bhd dan KDDI Malaysia Sdn Bhd (KDDI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang komersial, berusaha membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang akan memberi manfaat kepada pelanggan masing-masing di Jepun dan Malaysia.
XOX dan KDDI akan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi seperti e-SIM kepada pelanggan, menggunakan mesin layan diri SpaceX XOX dan pembangunan bersama aplikasi mudah alih Nimbus XOX sebagai perkhidmatan tambah nilai kepada pengguna mudah alih kedua-dua pihak di seluruh rantau Jepun dan Malaysia.
Kerjasama itu juga termasuk penggunaan teknologi terkini kedua-dua syarikat untuk memudahkan pembangunan dan meningkatkan nilai projek pelaburan yang dijalankan oleh XOX.
XOX berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan salah satu penyedia telekomunikasi terkemuka Jepun, dan perkongsian ini akan membolehkan pihaknya menawarkan pelanggan di Malaysia dan Jepun rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih luas.
"Kami sentiasa mencari cara untuk terus menambah lebih banyak nilai kepada pelanggan kami, seperti peningkatan permintaan untuk penyimpanan data runcit mampu milik," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengarah Urusan KDDI Malaysia, Masaki Matsuura berkata, kerjasama dengan XOX akan membantu mengembangkan perniagaan di Jepun dan Malaysia, dan pasukannya teruja dengan perkongsian pengalaman dan teknologi mereka.
Katanya, pihaknya tidak sabar untuk bekerjasama dengan XOX kerana KDDI berfungsi untuk menyelesaikan isu sosial sebagai syarikat infrastruktur dan teknologi serta menyumbang kepada masyarakat Malaysia.

"Aplikasi XOX Nimbus membolehkan pengguna mengurus media digital tanpa menggunakan storan dalaman pada peranti mereka, dan penyepaduannya ke dalam ekosistem mudah alih XOX memberikan peluang untuk meningkatkan transaksi produk, jualan langsung dan pengiklanan," katanya. - DagangNews.com


