XOX meterai kerjasama teknologi baharu dengan Majlis Bandaraya Ipoh
azan
14/09/2023 - 16:59
KUALA LUMPUR 14 Sept - Pengendali rangkaian mudah alih, XOX Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU)dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi cadangan kerjasama teknologi, 16 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian pertama mereka.
Pada Mei 2022, syarikat itu mengumumkan bahawa cadangan kerjasama teknologi strategik dengan MBI adalah bagi meningkatkan secara kolektif infrastruktur dan perkhidmatan semasa yang disediakan oleh majlis bandaraya itu kepada penduduk Ipoh berdasarkan pendigitalan, aplikasi realiti tambahan, aplikasi tanpa tunai dan automasi.
Syarikat itu sebelum ini mengumumkan bahawa XOX dan MBI bersetuju melanjutkan kerjasama selama 12 bulan lagi bagi memuktamadkan pengaturan perkongsian teknologi strategik.
"Sehubungan itu, MOU baharu itu akan melanjutkan kerjasama sebelum ini dimeterai antara MBI dan syarikat pada 24 Mei 2022.
"MOU baharu itu akan mengukuhkan pelantikan XOX sebagai rakan kongsi teknologi strategik kepada MBI bagi tujuan membolehkan syarikat itu memberikan cadangan teknikal untuk MBI mempertimbangkan pelaksanaan berdasarkan keperluan orang ramai," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Tempoh kerjasama baharu itu adalah selama setahun.
Menurut XOX, kerjasama baharu itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan serta-merta yang ketara ke atas pendapatan sesaham kumpulan, aset bersih sesaham dan penggearan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023. - DagangNews.com


