
KUMPULAN Rock terkenal tanah air XPDC Kita Peng Yu bakal menemui peminatnya di Kunak menerusi Konsert XPDC Gegar Borneo 2026 yang dijadual berlangsung di Padang Pekan Kunak 8 Ogos ini.
Konsert tersebut yang dianjurkan oleh SMH Global dengan sokongan Majlis Daerah Kunak, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan antara sebahagian daripada usaha kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Wakil SMH Global yang juga penganjur program Alan Ahmad berkata pemilihan Kunak sebagai lokasi konsert juga mempunyai signifikannya tersendiri yang terletak ditengah-tengah antara daerah Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
Katanya konsert itu menjadi permulaan kepada perancangan membawa XPDC ke beberapa lagi lokasi di pedalaman Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.
Kali terakhir XPDC mengadakan konsert di Sabah adalah pada tahun 2024 di Tawau sekali gus menjadikan kemunculan semula mereka di Kunak, Sabah sesuatu yang dinanti-nantikan.
“Pemilihan Kunak sebagai lokasi konsert bukan sekadar membawa hiburan berkualiti kepada masyarakat di pantai timur Sabah malah memberi peluang peminat di kawasan pedalaman (luar bandar) menyaksikan sendiri persembahan kumpulan yang sudah lebih tiga dekad mewarnai industri rock tempatan”, kata Alan dalam kenyataan media.
Menurutnya muzik bukan sekadar hiburan malah mampu menggerakkan industri pelancongan, memperkasa ekonomi setempat dan menyatukan masyarakat melalui sebuah ‘pentas’ yang dikongsi bersama.
Alan berkata penganjuran konsert ini membawa lebih banyak persembahan bertaraf nasional yang turut memilih kawasan luar bandar Sabah sebagai lokasi pilihan.
“XPDC Kita Peng Yu merupakan sebuah nama besar yang mempunyai pengaruh luar biasa dalam dunia Rock Malaysia.
“Membawa mereka ke Kunak adalah sebahagian daripada usaha kami (melalui seni muzik) menjadikan Sabah sebagai destinasi penganjuran acara hiburan bertaraf nasional.
“Kami berharap acara ini nanti bukan sahaja memberi pengalaman terbaik kepada peminat malah mampu merancakkan pelancongan, menarik pengunjung tempatan dan luar seterusnya menjana ekonomi setempat,” katanya.
Selain konsert oleh kumpulan XPDC itu aktiviti jualan turut diadakan di padang pekan Kunak yang menghimpunkan usahawan dan peniaga IKS.
Pertandingan karaoke juga antara dalam senarai pengisian program.
Rangkaian lagu antaranya Semangat Yang Hilang, Titian Perjalanan, Apa Nak Dikata, C.I.N.T.A, Hijau Bumi Tuhan, Selendang Merdeka dan beberapa lagu yang bakal disajikan kepada peminat pada malam itu nanti.
Alan berkata konsert itu juga dijangka dihadiri oleh Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak Datuk Seri Anil Sandhu selain memberi sokongan kepada para belia yang turut sama mengadakan aktiviti jualan sepanjang acara tersebut.
“Peminat-peminat muzik rock khususnya di Kunak dan sekitar daerah jiran Lahad Datu, Semporna, Tawau dapat meluangkan masa untuk hadir menyaksikan persembahan XPDC.
“Ini merupakan kali pertama mereka menjejakan kaki ke Kunak untuk konsert secara live,” katanya.
Promosi mengenai konsert tersebut telah dibuat sejak sebulan lalu menerusi hebahan di pelbagai platform media sosial dan juga media atas talian.
Dalam pada itu anggota XPDC Kita PengYu, Azuar @ Zuar dan Yazid sependapat Sabah sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan seni mereka.
“Sambutan luar biasa yang diterima setiap kali mengadakan persembahan di negeri dibawah bayu menjadi pembakar semangat untuk kembali memberikan persembahan terbaik kepada para peminat.
“Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa dihati kami. Setiap kali membuat persembahan di sini sambutannya memang luar biasa.
“Untuk XPDC Gegar Borneo 2026 kami akan tampil dengan persembahan penuh tenaga, membawakan lagu-lagu yang menjadi kegemaran ramai serta beberapa kejutan khas buat semua yang hadir.
“Kami mahu jadikan malam itu satu kenangan yang sukar dilupakan. Jumpa anda semua di Kunak pada 8 Ogos nanti”, kata anggota XPDC.


