Xpeng Akan Menjual Kereta Terbang Bermula 2026

TechnologyDigitalCars
11 Mar 2025 • 10:49 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Walaupun pembangunan beberapa kereta terbang telah diumumkan sedekad lalu, pemilikan peribadi kenderaan ini masih belum ditawarkan kepada umum. Volocopter sekadar menawarkan perkhidmatan teksi terbang secara terhad di Paris. eHang pula menawarkan kereta terbang mereka tahun lalu tetapi sehingga kini penggunaannya secara terbuka di China masih belum dibenarkan oleh pihak berkuasa. Minggu ini Xpeng pula mengumumkan kereta terbang mereka akan mula dijual kepada orang ramai bermula tahun depan menerusi subjenama mereka AeroHT.

image is not available

AeroHT Land Aircraft Carrier (LAC) adalah sebuah van dengan enam tayar yang mempunyai sebuah kereta terbang yang disimpan pada bahagian belakang kenderaan. Apabila pengguna ingin terbang, kereta terbang yang mampu membawa dua orang penumpang akan dikeluarkan daripada tempat simpanan.

Dalam mod van, LAC yang berkuasa elektrik boleh bergerak sejauh 997 kilometer CLTC sebelum bateri perlu dicas semula menggunakan stesen pengecas atau enjin petrol kenderaan. Bateri van dan enjin petrol mempunyai kapasiti mencukupi untuk membolehkan kereta terbang sebanyak 6 kali.

image is not available

Sejak diperlihatkan kepada orang ramai ketika Pertunjukan Udara Zhuhai, LAC telah menerima 3000 tempahan. Jumlah tempahan yang agak tinggi walaupun setiap LAC dijual pada harga RMB $2 juta (~RM 1.22 juta) sebuah. AeroHT juga masih belum mendapat klasifikasi daripada kerajaan untuk kenderaan ini dan sama ada pemilik memerlukan lesen khas untuk melakukan penerbangan.

Tetapi sekiranya semua proses mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa berjalan lancar, AeroHT akan menjadi syarikat pertama menawarkan sebuah kenderaan hibrid van dan kereta terbang secara komersial di dunia.

View Original Article