Coronavirus: Sabah teliti keperluan bekalkan alat pencegahan

26 Jan 2020 • 10:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SEMPORNA - Kerajaan Sabah meneliti keperluan membekalkan peralatan pencegahan untuk petugas seperti anggota penguatkuasa yang memeriksa warga asing di pintu masuk negeri bagi mengelak penularan wabak coronavirus.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, wujud keperluan mengagihkan peralatan pencegahan seperti penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan pencuci tangan (hand sanitizer) kepada petugas terlibat bagi mencegah jangkitan virus itu.

"Saya ingat Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta Kementerian Pelajaran dan Inovasi sedang mengusahakan perkara ini," katanya kepada pemberita selepas sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Warisan Sabah cawangan Bandar Baru Semporna di sini malam tadi.

Beliau berkata, Sabah juga mengambil langkah berjaga-jaga memperketatkan pengawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

"Kita ambil langkah proaktif, pencegahan, misalnya meletakkan kemudahan saringan kesihatan untuk mengesan tahap kesihatan pelancong yang datang," katanya.

Setakat ini, dilaporkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura disahkan positif coronavirus. - Bernama