
PUTRAJAYA – Di tengah kekalutan menghadapi pilihanraya umum ke 15, persiapan menghadapi banjir seharusnya tidak dilupakan oleh setiap pihak berkewajipan agar keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Kehangatan berkempen setiap pemain siasah tidak seharusnya menjadikan pembelaan kebajikan masyarakat yang dilanda musibah terabai dan tidak diperdulikan. Justeru, sebagai sebuah badan yang cakna dengan situasi semasa, YADIM bersedia menggerakkan seramai 10,000 anggota Sukarelawan YADIM (SAY) di seluruh negara bagi membantu menangani situasi banjir yang dijangka melanda pada bila-bila masa.
SAY telah terlibat dalam pelbagai program membantu masyarakat sebelum ini khususnya ketika musibah banjir dengan penyediaan dapur rakyat, penyaluran sumbangan dan khidmat pemulihan tempat kediaman serta fasiliti awam. SAY diseluruh negara sentiasa bersedia untuk turun padang sekiranya diperlukan.
Pejabat pejabat YADIM negeri juga telah diminta sentiasa berjaga jaga dan segera bertindak bersama para sukarelawan bagi menghadapi bencana tersebut. Untuk makluman, SAY Pulau Pinang dan Sarawak umpamanya telah menerima latihan Asas CDERT (Civil Defense Emergency Response Team) yang memberi pendedahan tentang aspek bantuan kepada masyarakat ketika bencana.
Anggota SAY di negeri lain juga bakal menerima latihan yang sama bagi memantapkan kemahiran dan pengalaman mereka. Para sukarelawan yang terlatih ini kelak akan digerakkan ke kawasan kawasan yang dilanda bencana. Pada masa yang sama, YADIM juga telah mengaktifkan bilik gerakan banjir di ibu pejabatnya di sini bagi mengatur sebarang inisiatif membantu mangsa mangsa bencana tersebut kelak.
Bilik gerakan ini pernah digunakan untuk menyelaras gerak kerja bantuan oleh YADIM dalam bencana banjir pada 2020 dan 2021. Orang ramai juga boleh membantu YADIM dalam program program bantuan banjir menerusi sumbangan kepada Tabung Infaq YADIM. Maklumat cara menyumbang boleh didapati di laman web dan Facebook rasmi YADIM.
Bergerak ke hadapan, terkait soal pilihanraya, YADIM turut menyeru seluruh warga negara Malaysia yang layak mengundi untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih bagi memastikan negara dipimpin oleh kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan stabil demi masa depan Malaysia yang dicintai.
The post YADIM Persiap 10,000 Sukarelawan, Seru Perkemas Persiapan Hadapi Banjir Di Tengah Bahang Pilihan Raya appeared first on Siakap Keli.

