Yakeb sedia bantu bekas pelumba motocross hidap barah hidung

4 Jul 2025 • 7:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

image is not available

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Bekas pelumba motocross negara Muhamad Habibullah Mohd Saleh atau lebih dikenali sebagai Gabit, kini boleh menarik nafas lega apabila Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersedia membantu berkaitan rawatan kanser hidung yang dihadapinya.

Pengerusi Yakeb Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata ahli lembaga yayasan itu bersetuju untuk membenarkan syarat keahlian kepada sukan motorcross.

“Dia (Gabit) sedang menjalani rawatan dan kita juga akan bantu melorongkan bantuan yang sesuai bagi rawatan beliau.

“Sekiranya dia mendapat rawatan di hospital kerajaan dia akan mendapat kemudahan tersebut (kos rawatan ditanggung Yakeb) dan kita juga akan beri insentif lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Prihatin Sukan, Untukmu Jaguh anjuran Fakulti Sains dan Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Gabit dalam proses untuk menjadi ahli Yakeb namun terdapat beberapa masalah berkaitan dokumentasi.

Bekas pelumba berusia 34 tahun itu disahkan menghidap kanser tahap empat pada 2021 dan sudah menjalani 18 sesi kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) secara tanggungan sendiri.

— BERNAMA

 

View Original Article