Yakin boleh elak penipuan namun 73% tetap jadi mangsa scammer - Laporan Gogolook

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 5:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yakin boleh elak penipuan namun 73% tetap jadi mangsa scammer - Laporan Gogolook

image is not available

03/09/2025 - 17:13

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Satu laporan terkini mendedahkan 73% daripada mangsa scammer sangat yakin mereka dapat mengesan taktik penipuan, namun tetap terperangkap dalam jerat scammer.

Laporan State of Scams in Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Gogolook bersama Global Anti-Scam Alliance (GASA) itu dijalankan antara 26 Februari hingga 14 Mac 2025 dan melibatkan 1,000 orang dewasa Malaysia melalui tinjauan dalam talian.

Kajian itu mendapati 85% responden berdepan cubaan scam dalam tempoh setahun lalu manakala 73% benar-benar menjadi mangsa dengan kerugian purata mencecah RM4,844.70 setiap seorang.

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo berkata, laporan itu turut menunjukkan 82% golongan berpendidikan tinggi dan 78% daripada generasi milenial adalah antara yang paling berisiko menjadi mangsa.

“Aktiviti scam kini menjadi sebahagian daripada lanskap digital sehingga mereka yang celik teknologi juga boleh terjerat.

“Walaupun 94% responden Malaysia mengatakan mereka mengambil langkah menyemak kesahihan tawaran, ramai masih bergantung kepada kaedah kurang berkesan seperti memeriksa tatabahasa atau melihat kewujudan syarikat di media sosial.

“Kesedaran sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kita perlukan alat pencegahan lebih pintar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available

Tambahnya, aplikasi Whoscall mampu memainkan peranan besar kerana ia disahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menggunakan teknologi AI untuk mengesan panggilan, mesej serta pautan mencurigakan termasuk melalui tangkapan skrin.

“Laporan turut mengenal pasti penipuan pelaburan sebagai bentuk scam paling dominan dengan panggilan telefon kekal menjadi saluran utama.

“Namun, terdapat peralihan ketara ke arah aplikasi mesej segera seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook, yang kini merangkumi 56% cubaan penipuan.

“Kajian ini juga mendedahkan 21% ibu bapa mengakui anak mereka berusia 7 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa scam sekurang-kurangnya sekali,” katanya.

image is not available

Dari segi laporan kesalahan scammer pula, sebanyak 44% mangsa menyalurkan aduan kepada platform media sosial dan 44% kepada pihak berkuasa.

Namun, masih terdapat 23% mangsa memilih untuk tidak melaporkan kejadian penipuan dengan alasan tidak tahu saluran tepat atau bimbang laporan tidak membawa sebarang perubahan.

Responden juga menaruh harapan besar kepada kerajaan dan institusi awam untuk melindungi pengguna, tetapi menganggap organisasi perlindungan pengguna paling berkesan dalam memberi pendidikan, memudahkan laporan dan menyokong mangsa.

Penemuan ini sekali lagi menegaskan perlunya kerjasama antara kerajaan, swasta dan teknologi pintar bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat serta bebas penipuan. - DagangNews.com

standard