
Varian standard Y16ZR-R turut diperkenalkan pada harga RM10,888 dengan TCS, Y-ON dan peningkatan prestasi
KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 – Yamaha Motor Malaysia memperkenalkan Yamaha Y16ZR-R baharu, dengan perhatian utama diberikan kepada Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica yang hanya akan dihasilkan sebanyak 3,000 unit di seluruh dunia.
Ditawarkan pada harga jualan disyorkan RM13,388, tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran, edisi istimewa ini tampil dengan liveri Yamaha Prima Pramac MotoGP Team, emblem nombor siri unik serta suspensi Öhlins yang dilaraskan dan dibangunkan khas untuk Y16ZR-R baharu.
Yamaha Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica akan mula boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di Malaysia bermula pertengahan Ogos 2026.
Pramac Racing Replica Untuk Peminat MotoGP







Menjadikan model ini lebih istimewa ialah kemasan yang diinspirasikan secara langsung daripada jentera Yamaha Prima Pramac MotoGP Team.
Setiap unit turut diberikan emblem nombor siri unik bagi menegaskan statusnya sebagai model edisi terhad.
Tidak sekadar kosmetik, Yamaha turut melengkapkan versi ini dengan suspensi Öhlins yang telah dilaraskan dan dibangunkan khusus untuk karakter Y16ZR-R.
Dengan pengeluaran global yang dihadkan kepada hanya 3,000 unit, Y16ZR-R Pramac Racing Replica dijangka menjadi antara model yang paling dicari oleh peminat Yamaha dan MotoGP.
Y16ZR-R Standard Hadir Dengan Pelbagai Naik Taraf














Bagi versi standard pula, Yamaha Y16ZR-R ditawarkan pada harga RM10,888, tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Model ini hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Kouka Grey, Raijin Green dan Yoru Black, dengan penampilan yang lebih sporty, tajam dan kompak.
Khusus untuk warna Yoru Black, Yamaha menawarkan kemasan khas dengan kesan ‘Chameleon’, di mana tona warna berubah mengikut sudut pencahayaan.
Yamaha Y16ZR-R baharu boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara mulai 10 Ogos 2026.
Moped Yamaha Pertama Dengan TCS
Antara peningkatan terbesar pada Y16ZR-R ialah kehadiran Traction Control System (TCS) generasi 1.5, menjadikannya moped Yamaha pertama yang dilengkapi sistem kawalan traksi.
Teknologi ini membantu mengurangkan gelinciran roda belakang ketika pecutan, memberikan permulaan yang lebih lancar serta meningkatkan keyakinan penunggang terutama ketika melalui permukaan jalan yang basah atau tidak rata.
Enjin 155cc dan Nisbah Gear Baharu
Y16ZR-R masih menggunakan enjin satu silinder 155cc, SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW pada 9,500 rpm dan tork maksimum 14.4 Nm pada 8,500 rpm.
Bagi memberikan tindak balas pecutan yang lebih pantas, nisbah gear sekunder turut ditingkatkan menerusi penggunaan sproket baharu daripada 46T kepada 48T.
Menurut Yamaha, perubahan tersebut memberikan tindak balas yang lebih responsif ketika mula bergerak serta meningkatkan prestasi pecutan pada gear tinggi, khususnya gear keenam, tanpa menjejaskan keupayaan kelajuan tinggi Y16ZR-R.
Rekaan Baharu Lebih Agresif
Yamaha Y16ZR-R turut menerima reka bentuk luaran serba baharu yang lebih sporty dan aerodinamik.
Bahagian hadapan yang lebih padat membantu melancarkan aliran udara, manakala garisan badan yang lebih tajam menyerlahkan karakter agresif model ini.
Lampu hadapan LED Kelas D turut direka semula bagi menawarkan pencahayaan, keseragaman pancaran dan sudut unjuran yang lebih baik ketika tunggangan pada waktu malam.
Lampu posisi pula mengambil inspirasi daripada mata tajam seekor pemangsa, memberikan wajah Y16ZR-R yang lebih berkarakter.
Bunyi Enjin Lebih Menyerlah
Yamaha turut meningkatkan sistem kemasukan udara Twin Funnel bagi menghasilkan bunyi sedutan enjin yang lebih jelas ketika memecut.
Peningkatan akustik ini direka untuk memberikan sensasi kelajuan yang lebih nyata dan menjadikan setiap putaran pendikit lebih mengujakan.
Kini Dengan Yamaha Motor Connectivity
Satu lagi ciri baharu yang menarik ialah pengenalan Simple Communication Control Unit (SCCU) buat pertama kali pada sebuah moped Yamaha.
SCCU berfungsi bersama aplikasi Yamaha Motor Connectivity (Y-ON) dan membolehkan motosikal dihubungkan dengan telefon pintar penunggang.
Melalui sistem ini, penunggang boleh mendapatkan maklumat motosikal, statistik tunggangan, peringatan penyelenggaraan serta notifikasi terpilih daripada telefon pintar.
Harga dan Ketersediaan
Yamaha Y16ZR-R baharu ditawarkan pada harga jualan disyorkan RM10,888, tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
Harga tersebut mengambil kira insentif Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV) daripada kerajaan, dengan penjimatan kos disalurkan terus kepada pelanggan.
Sementara itu, Yamaha Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica ditawarkan pada harga RM13,388.
Dengan gabungan prestasi enjin 155cc, TCS, Y-ON, nisbah gear baharu serta reka bentuk yang lebih agresif, Y16ZR-R baharu bukan sekadar menerima kemas kini kosmetik, malah hadir dengan peningkatan teknologi yang lebih menyeluruh.
Namun, bagi peminat MotoGP dan pengumpul, tarikan terbesar sudah tentu Pramac Racing Replica yang dihadkan kepada hanya 3,000 unit di seluruh dunia.
The post Yamaha Y16ZR-R Pramac Racing Replica Hanya 3,000 Unit, Harga RM13,388* appeared first on TW Media.
