Yang Mengasihi Nir-Syarat 

Opinion
5 Jul 2026 • 8:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Yang Mengasihi Nir-Syarat 

Oleh F.A. Haisar

Ilustrasi Muizzah 

Aku baca semula puisi itu pada jam 1.36 pagi. Aku ingat waktunya kerana hari itu 8 Jun 2026. Tiada kaitan bukan? Begitulah hidup. Kadang-kadang perkara yang tampak tidak berkaitan sebenarnya menyimpan sangkutannya sendiri. Pagi sebelumnya, sewaktu memandu ke hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, aku membaca puisi itu buat kali pertama sejurus ia tersiar di mediaselangor.com.

Berjam-jam telah berlalu. Namun puisi itu masih bergayut-gayut di ranting ingatanku. Aku kembali mencarinya: Pidato Malam. Atau mungkinkah sebenarnya YB Malam yang mencari aku semula dalam kesunyian malam? Sepanjang perjalanan pulang dari WTC, aku menyangka yang tinggal dalam kepalaku hanyalah timbunan buku yang kubeli, menuntut agar segera kubaca. 

Rupa-rupanya bukan. Yang pulang bersamaku ialah sebuah puisi.

Namun aku sengaja enggan membacanya semula. Seolah-olah aku sedang memprotes: tidak mahu membiarkan diri dipujuk janji-janji sang politikus, si YB Malam. Aku membiarkan skrin telefon terus menyala di hadapanku. Aku cuba membaca perkara lain. Berita. Ulasan buku. Hantaran media sosial yang segera kulupakan. Tetapi setiap kali aku menatal ke bawah, fikiranku menatal semula ke atas. Kembali kepada puisi itu. Kembali kepada satu baris. Kemudian satu lagi, dan satu lagi. Ada puisi yang kita selesai baca. Ada puisi yang tidak selesai membaca kita. Akhirnya aku mengalah. 

Aku buka semula pautan puisi tersebut. Kali ini bukan sebagai pembaca yang mahu mencari hiburan sebelum tidur tetapi sebagai seseorang yang mahu tahu mengapa sebuah puisi boleh begitu degil tinggal dalam kepalanya. Aku baca salutasinya dengan kanta curiga berlapis waspada:

“Salam sejahtera saudara-saudari rakyat insomnia, warganegara republik bantal, pemegang pasport mimpi dan visa kesunyian”

Aku baca sekali lagi, dan sekali lagi. Aku tidak tahu apa yang lebih menggangguku: bahawa penyair menulis pembukaan itu begitu baik, atau hakikat bahawa aku berharap akulah yang menulisnya.

Pandainya.

Aku tidak suka mengaku begitu. Terutama apabila ditujukan kepada penyair lain. Ada semacam rasa malu. Seolah-olah aku baru ternampak seorang pelari memecut jauh di hadapan ketika aku sendiri masih tercungap-cungap mengikat tali kasut. Kenapa aku cemburu? Kerana tiga baris itu kelihatan begitu mudah. Tetapi itulah tipu daya puisi yang baik. Ia membuat sesuatu yang sukar, kelihatan lahir dengan sendirinya. 

Tidak pernah wujud negara bernama republik bantal. Tidak pernah ada pejabat imigresen yang mengeluarkan pasport mimpi. Kesunyian juga tidak pernah memerlukan visa. Tetapi anehnya, ketiga-tiganya terasa tepat: segar, tetapi tidak janggal; baharu, seakan-akan memang telah lama wujud dalam bahasa. Maka bukankah itu antara keajaiban puisi? Menemukan padanan yang tidak pernah kita fikirkan, lalu membuat kita tertanya-tanya mengapa kita tidak memikirkannya terlebih dahulu.

Benar, aku cemburu. Aku berharap akulah yang menulisnya. Namun yang lebih menyakitkan, aku terasa seolah-olah YB Malam sedang memberi salam tepat kepadaku. Malam itu aku bukan sahaja warga republik bantal. Aku juga pemegang pasport mimpi dan pemilik visa kesunyian kerana sudah hampir sebulan aku tinggal sendirian di rumah. Bantal, mimpi dan sunyi bukan lagi metafora yang jauh. Ketiga-tiganya sedang duduk bersamaku di ruang tamu. Barangkali itulah sebab salamnya terasa begitu peribadi.

Semakin aku baca, semakin aku sedar bahawa penyair sedang melakukan dua kerja serentak: memperkenalkan watak bernama YB Malam dan dunia yang ditadbirnya. Hanya dalam beberapa baris, republik mimpi, insomnia, kesunyian, bulan, gerhana dan bintang terbentang seperti peta galaksi yang sedang dilukis ketika kita melihatnya.

Aku ulang baca hingga aku sedar bahawa puisi ini bukan sekadar mahu dibaca sekali. Ia seperti rumah yang membuka bilik baharu setiap kali kita menziarahnya. Aku mula bertanya perkara-perkara yang tidak pernah kutanyakan pada bacaan pertama. Mengapa serbuk bintang, bukannya bintang? Mengapa longkang cakrawala, bukan sekadar cakrawala? Mengapa kulit gerhana, bukan kulit bulan mengambang?

Aku tidak tahu sama ada semua soalan itu mempunyai jawapan yang sengaja ditanam oleh penyair. Terus terang, aku tidak terlalu peduli. Pada tahap ini, aku sudah mula percaya bahawa puisi yang baik tidak semestinya memberikan jawapan. Kadangkala ia hanya menyediakan ruang untuk pembaca menemukan pertanyaan yang lebih menarik. Mungkin di sinilah benarnya: setelah sebuah karya lahir, sebahagian kuasa mentafsirkannya berpindah kepada pembaca. Kemudian aku sampai pada:

“Aku tahu ada stesen kereta api kehilangan di bawah rusuk; tempat kenangan berbaris membeli tiket menuju masa silam.”

Aku berhenti. Kali pertama aku membacanya, aku tersentak. Kali kedua, aku faham. Namun kali ketiga, aku teringat mak. Puisi itu tidak menyebut tentang ibu. Tetapi itulah yang dilakukan oleh kehilangan. Ia tidak pernah datang seorang. Kita memanggil satu kenangan, lalu yang lain-lain ikut turun dari gerabak yang sama dan anehnya, daripada ribuan kenangan yang ada, yang datang bukanlah malam terakhir di hospital. Bukan juga hari kami mengusung jenazahnya ke tanah perkuburan.

Sebaliknya yang datang ialah aroma halba dan santan. Aku teringat nasi lemak mak. Aku teringat sambal kentang bilis yang selalu dimasaknya. Aku teringat mak menghidangkan sarapan di meja makan selepas subuh dan entah mengapa, aku teringat senyumannya: tidak pernah benar-benar mekar. Seolah-olah hidup telah meletakkan terlalu banyak beban pada kedua-dua hujung bibirnya sehingga lengkungnya sentiasa sedikit ke bawah. Barangkali begitulah cara kehilangan bekerja. Ia tidak selalu membawa pulang kematian. Kadangkala ia cuma membawa pulang aroma dapur yang sudah lama tidak ditemui.

Aku membayangkan stesen itu. Sebuah stesen kecil yang beroperasi jauh di bawah rusuk manusia. Tempat segala yang telah pergi, datang dan pergi semula. Tempat penyesalan duduk di bangku kayu sambil menunggu tren yang tidak pernah tiba tepat pada waktunya. Tempat kata-kata yang tidak sempat diucapkan membeli tiket sehala menuju masa silam.

Ketika itu aku sedar, aku tidak lagi membaca puisi itu. Aku sedang tinggal di dalamnya. Aku membaca semula beberapa rangkap sebelumnya dan aku nampak sesuatu yang aku terlepas pandang pada bacaan pertama. YB Malam bukan sedang berpidato. Dia sedang mengutip cebis-cebis diri rakyatnya yang terluka. 

Aku tidak perasan hal itu sebelumnya kerana terlalu sibuk mengagumi dunia yang dibinanya. Aku terpesona dengan republik bantal, pasport mimpi dan visa kesunyian. Aku terleka dengan kabinet semesta, burung hantu, gerhana dan bintang. Aku terlalu asyik melihat pentasnya sehingga terlupa mendengar isi ucapan. Padahal hampir semua manifesto YB Malam berkisarkan perihal yang sama: tercicir, patah dan luka yang manusia sembunyikan daripada dunia.

Aku baca bahagian itu berulang kali dan setiap kalinya, aku seakan semakin melupakan sang penyair. Aku semakin tersentuh dengan kemuliaan hati persona bernama YB Malam. Awalnya aku enggan menyedarinya. Mungkin kerana perkataan “YB” sudah terlalu sarat dengan pengalaman dan propaganda. Sebaik sahaja membaca perkataan itu, aku sudah membawa masuk segala prasangkaku sendiri. Manifesto. Politik. Janji. Kuasa. Kempen. Entah sejak bila, perkataan-perkataan itu membuatkan kita lebih bersedia untuk curiga daripada percaya.

Sebab itulah aku fikir aku cuba melawan puisi itu sejak awal. Sebab itulah aku sengaja tidak mahu membacanya semula selepas pulang dari Kuala Lumpur. Aku menyangka aku tahu ke mana puisi itu mahu membawaku.

Aku silap.

Semakin jauh aku menerawang ke cakrawala Pidato Malam, semakin aku sedar bahawa puisi itu tidak berminat untuk menunjukkan betapa pandai penyairnya. Ia cuma berniat untuk memelihara manusia yang terluka. Ia mahu membina jambatan antara mimpi dan luka, menggantung bulan kecil di tingkap dukacita, dan menyediakan rumah perlindungan untuk perkara-perkara yang tercicir. 

Ini bukan bahasa seorang pemerintah. 

Ini bahasa seorang pelindung. 

Di situlah aku mula nampak kecerdikan sebenar puisi ini: penyair tidak memilih figura raja atau dewa. Dia memilih seorang YB. Gelaran paling duniawi, birokratik, sarat prasangka dan dekat dengan janji-janji yang gagal ditepati. Tetapi sedikit demi sedikit, penyair menyongsangkan semua itu. YB Malam tidak meminta undi. Tidak menuntut kesetiaan. Tidak menagih kuasa yang lebih panjang. Malah dia tahu pemerintahannya akan berakhir sebelum subuh. Yang dia mahu hanyalah mengutip perkara-perkara tercicir dari dalam diri rakyatnya dan mengubat luka.

Barangkali sebab itulah aku kembali lagi kepada puisi ini. Bukan kerana gerhananya. Bukan kerana bintangnya. Bukan kerana kecerdikan metaforanya. Tetapi di sebalik semua itu, puisi ini sebenarnya sedang mengusulkan satu perkara yang sangat sederhana dan sangat sukar pada masa yang sama: pemulihan. Ia jelas hadir pada satu bahagian manifesto yang mungkin menjadi jantung puisi ini tatkala YB Malam berkata bahawa manifesto terbesarnya bukan langit, bulan dan bintang. Dia cuma mahu mengembalikan manusia ke alamat asal.

Semakin aku memikirkannya, semakin aku merasakan bahawa seluruh puisi ini sedang bergerak ke arah janji itu. Jambatan antara mimpi dan luka. Bulan kecil di tingkap dukacita. Rumah perlindungan untuk tangisan. Semuanya bukan destinasi. Semuanya jalan pulang.

Pulang kepada bahagian diri yang telah lama tercicir; yang terlalu penat untuk terus berpura-pura kuat, tetapi masih mahu percaya bahawa luka boleh sembuh meskipun belum tahu caranya. Barangkali sebab itulah aku mahu mempercayai YB Malam. Kerana pada ketika itu, aku sendiri sedang mencari jalan pulang yang serupa.

Di situ jugalah aku kembali kepada satu baris yang pada bacaan pertama membuatku jeda seketika. Cahaya menitis perlahan seperti susu dari payudara langit. Aku akui, kali pertama membacanya, aku mengangkat kening. Mengapa tiba-tiba payudara? Mengapa tiba-tiba susu? Bukankah seluruh puisi ini dibina daripada gerhana, bintang, bulan, kabus, manifesto dan langit? Bukankah semua citranya datang daripada keluarga yang sama? Maka mengapa penyair tiba-tiba membawa tubuh ke tengah-tengah kosmos? Cuma satu yang aku pasti, pelanggaran itu bukan dibuat sekadar mahu melawan atau bereksperimen atas nama eksperimen. 

Aku ulang baca sehingga faham akhirnya sudi singgah, lalu aku tersenyum sendiri. Daripada semua citra dalam puisi itu, hanya satu yang benar-benar hangat dan hanya satu yang tidak meminta kita berfikir terlebih dahulu sebelum merasainya: susu. Mungkin sebab itulah imej itu terasa terkeluar. Kerana pada saat itu YB Malam tidak lagi mahu dikagumi. Dia mahu mendekat, memesrai dan menjaga dengan penuh kasih, nir-syarat: persis kasihnya ibu.

Keesokan harinya aku membawa puisi itu ke pejabat seperti seseorang membawa lagu yang belum habis dimainkan. Ia muncul ketika aku memandu. Ia muncul ketika menunggu lif. Ia muncul ketika aku sedang membaca surat yang langsung tidak ada kaitan dengan puisi. Sesekali aku mendapati diriku mengulang satu dua baris tanpa sedar. Seolah-olah ada sesuatu dalam puisi itu yang masih belum selesai bercakap denganku. Bila Amar menegur dan bertanya kenapa aku tampak kepenatan dan terganggu, aku sekadar mengatakan bahawa aku tidak cukup tidur. Itu jawapan yang jujur. Cuma tidak lengkap.

Aku tidak mungkin mampu menjelaskan bahawa sepanjang pagi aku sedang memikirkan perihal seorang YB yang mentadbir republik bantal dan membuka rumah perlindungan untuk tangisan. Sesetengah perkara akan membuatkan kita kelihatan lebih waras jika disimpan sendirian.

Waktu makan tengah hari, aku duduk sendirian di sebuah kedai makan berhampiran pejabat. Televisyen di sudut kedai menyiarkan berita. Di meja sebelah, beberapa lelaki sedang berbual tentang politik. Nama parti dan pemimpin disebut. Janji lama dihitung, janji baharu diketawakan. Entah mengapa aku teringat YB Malam dan aku hampir tersenyum.

Di dunia sebenar, ahli politik menjanjikan pembangunan. Mereka menjanjikan kereta terbang, minyak murah dan masa depan. Tetapi dalam puisi itu, seorang YB sedang sibuk memujuk pelukan yang mati di bahu dan tangisan yang dipenjarakan di mata manusia. Entah kenapa, walaupun janji seperti itu terasa lebih mustahil, namun ia tetap memaksa aku untuk mempercayai kejujuran dan ketulusannya.

Suatu malam aku membuka komputer riba. Aku benar-benar mahu menulis ulasan tentang Pidato Malam. Aku mahu menulis tentang metaforanya, dunia simboliknya, stesen kehilangan, dan YB yang menyongsangkan segala tanggapan kita tentang kuasa. Tetapi setiap kali aku mula menaip, sesuatu terasa hilang. Seperti menangkap kunang-kunang dengan sarung tangan tebal. Cahayanya masih ada, tetapi seakan-akan tak bernadi. Pada ketika itulah aku akhirnya faham. Aku tidak mahu menulis tentang puisi itu. Aku mahu menulis tentang apa yang puisi itu lakukan kepadaku.

Lima hari aku hidup dengan puisi itu. Ia datang dan pergi, tetapi tidak pernah benar-benar meninggalkan aku.

6:13 pagi.

Aku tersenyum sendiri melihat angka itu. Lima hari sebelumnya, aku mengingati 13 Jun kerana jam menunjukkan 1.36 pagi. Kini angka yang sama datang semula dalam susunan yang berbeza. Sekilas fikir, seakan tiada kaitan. Namun pagi 13 Jun, pada hari lahirku yang paling sunyi, aku memilih untuk percaya kepada sangkutan yang tidak kelihatan.

Di luar tingkap, malam semakin menipis. Langit mula berubah warna. Subuh sedang bersiap untuk melakukan rampasan kuasa; seperti baris-baris akhir puisi itu. Waktu mencumbui kita. Sebentar lagi matahari akan datang bersama tentera cahaya dan trompet burung.

Aku menutup komputer riba.

Di ranjang, masih lagi kosong. Rumah masih sunyi. Aku masih sendiri. Tetapi tidak lagi sesunyi semalam. Mungkin, sebelum berundur ke pejabat rahsianya di belakang gerhana, YB Malam sempat menyeluk poket tidurku dan mengutip satu dua guni sunyi yang selama ini aku sendiri tidak sedar sedang kupikul.

Untuk pertama kalinya sejak membaca puisi itu, aku tidak perlu lagi cuba memahaminya. Aku hanya membiarkannya menetap bersamaku.


View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved