YANIS perkasa komuniti OKU menerusi SMG Mega Mangrove Cleanup 2026

LocalEnvironment
27 Jul 2026 • 9:56 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

YANIS perkasa komuniti OKU menerusi SMG Mega Mangrove Cleanup 2026

SHAH ALAM, 27 JULAI: Program Selangor Maritime Gateway (SMG) Mega Mangrove Cleanup 2026 merupakan antara platform berterusan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) memperkasakan komuniti orang kurang upaya (OKU) terhadap agenda keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif YANIS Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata dengan penyertaan 46 peserta termasuk 26 pelajar OKU kategori kurang upaya pembelajaran daripada Program Independent Living Support Centre (ILSC) bawah yayasan itu membuktikan mereka mampu menjadi penyumbang aktif kepada masyarakat dan alam sekitar apabila diberikan peluang sewajarnya.

Beliau berkata penyertaan mereka bersempena dengan sambutan Hari Bakau Sedunia 2026 itu merupakan sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti di ILSC yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran hidup berdikari, kesiapsiagaan pekerjaan dan integrasi sosial bagi belia OKU.

“Penglibatan dalam program seperti ini membantu komuniti ini meningkatkan keyakinan diri, kemahiran sosial, semangat kesukarelawanan dan kesedaran terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar.

“Menerusi program seperti ini, ia turut dijadikan pembelajaran di luar kelas untuk mereka memelihara alam sekitar di samping YANIS secara tidak langsung melatih komuniti ini untuk lebih rapat dengan masyarakat serta berdikari,” katanya ketika ditemui di Mangrove Point, Pelabuhan Klang di sini semalam.

Selain itu, Kamarul Hisham berkata penyertaan YANIS itu juga antara usaha bagi memperluas kerjasama strategik dan peluang penyertaan agar komuniti OKU dapat menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negeri.

Pada masa sama, ia mencerminkan komitmen organisasi itu terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui pemuliharaan alam sekitar, pemerkasaan komuniti OKU dan kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak.

Di samping itu, beliau berkata program berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 10 (Reduced Inequalities), SDG 13 (Climate Action), SDG 15 (Life on Land) dan SDG 17 (Partnerships for the Goals).

Image from: YANIS perkasa komuniti OKU menerusi SMG Mega Mangrove Cleanup 2026
Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah melihat sukarelawan bergotong-royong sempena Sambutan Hari Bakau Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Negeri Selangor di Mangrove Point Hutan Simpan Raja Lumu, Port Klang pada 26 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Sebagai perusahaan sosial milik Kerajaan Negeri Selangor, YANIS akan terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memperkasakan komuniti OKU melalui pendidikan, pembangunan kemahiran, kesukarelawanan dan inisiatif kelestarian demi membina masyarakat yang lebih inklusif serta mampan.

“Program ini juga memperkukuh hubungan strategik bersama syarikat-syarikat di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam memperluaskan agenda pembangunan mampan dan pemerkasaan komuniti,” katanya.

SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) hari ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor korporat, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Program tersebut turut disempurnakan Tengku Datin Paduka Setia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah disaksikan exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim dan Pengarah Urusan LLSB Syaiful Azmen Nordin.

Ia turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pencapaian ‘Penyertaan Tertinggi Dalam Program Pembersihan Hutan Paya Bakau’ hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved