YANIS rangka panduan tangani perkembangan seksual murid OKU

LocalFamily & Parenting
10 Jul 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

YANIS rangka panduan tangani perkembangan seksual murid OKU

SHAH ALAM, 10 JULAI: Isu perkembangan seksual dalam kalangan murid berkeperluan khas yang semakin mencabar mendorong Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) merangka panduan khusus bagi membantu guru dan penjaga menanganinya secara lebih berhemah, selamat serta menepati syarak.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Selangor dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh mengikut tahap kefahaman, keupayaan dan keperluan setiap individu.

YANIS dalam kenyataan memaklumkan usaha berkenaan susulan sesi perbincangan pada 30 Jun lalu yang membincangkan cabaran semasa berkaitan perkembangan seksual murid berkeperluan khas serta keperluan membangunkan garis panduan yang lebih jelas dan praktikal.

“Guru kini berdepan pelbagai persoalan berkaitan perkembangan seksual murid berkeperluan khas termasuk dorongan seksual, hubungan sesama rakan, kefahaman batas tubuh serta pengurusan emosi secara selamat.

“Keadaan itu menunjukkan keperluan kepada bimbingan sistematik kerana individu berkeperluan khas turut melalui perkembangan fizikal, emosi dan seksual, namun memerlukan pendekatan bersesuaian mengikut tahap kefahaman mereka,” katanya menerusi Facebook.

Menurut yayasan itu, pendekatan menangani isu seksual tidak boleh hanya berdasarkan diagnosis, sebaliknya perlu mengambil kira tahap kefungsian, komunikasi, keupayaan membuat keputusan serta tahap kebergantungan individu kepada penjaga.

Katanya, keadaan sebenar setiap individu perlu difahami terlebih dahulu dengan mengambil kira tahap keupayaan, kefahaman serta keperluan sokongan masing-masing agar sebarang pertimbangan syariah dapat dibuat secara tepat dan bertanggungjawab.

Sebagai langkah susulan, YANIS akan melaksanakan perbincangan teknikal bersama pakar berkaitan bagi membentuk panduan praktikal menangani isu berkenaan secara berhemah dan menepati syarak.

Dalam pada itu, YANIS berkata usaha berkenaan mencerminkan komitmen semua pihak dalam memperkukuh sistem sokongan kepada individu berkeperluan khas melalui pendidikan, pencegahan dan perlindungan yang lebih menyeluruh.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved