
SHAH ALAM, 23 OKT: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda pemerkasaan komuniti orang kurang upaya (OKU) menerusi penyertaan sebagai rakan strategik dan penaja bersama dalam International Summit on Disability-Inclusive Futures (ISDIF) 2025.
Sidang kemuncak antarabangsa anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam bermula 22 hingga 24 Oktober ini, menghimpunkan pelbagai pakar, penggubal dasar dan wakil organisasi tempatan serta antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim menerusi kenyataan memaklumkan, penyertaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa dan memartabatkan komuniti OKU di Selangor.
“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan dan aspirasi warga OKU, dan terus meneroka pelbagai kaedah inovatif bagi memastikan pemerdayaan komuniti ini dapat direalisasikan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Dalam sidang kemuncak tersebut, YANIS turut memeterai Surat Niat (LOI) bersama UiTM melalui Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U-Deserved) yang bakal memberi impak signifikan kepada komuniti OKU di Selangor.
Menurut Kamarul Hisham, kerjasama strategik itu merangkumi bidang utama antaranya pertukaran ilmu dan kepakaran, penganjuran bersama persidangan, program serta penglibatan komuniti, dan tanggungjawab sosial korporat.
Jelasnya, kerjasama dengan sebuah institusi pendidikan tinggi membuka peluang luas untuk YANIS meneroka pendekatan yang lebih holistik dan berasaskan penyelidikan dalam usaha memperkasa warga OKU.
“Walaupun YANIS masih di peringkat awal penubuhan, komitmen untuk terus melakukan
penambahbaikan dan peningkatan kapasiti organisasi tetap menjadi keutamaan.
“Pada 2026 nanti, perluasan skop program dan inisiatif akan dilaksanakan untuk memastikan lebih ramai warga OKU Selangor mendapat manfaat hasil kerjasama strategik dengan UiTM ini,” katanya.




