Pelawak Wahid Senario meluahkan rasa kehilangan terhadap rakan seperjuangannya, Yassin Yahya, yang sudah beberapa bulan tidak kelihatan dalam dunia hiburan.
Menurut Wahid atau nama sebenarnya Abdul Wahid Mohamad, 50, ketiadaan Yassin bukan sekadar memberi kesan kepada kumpulan Senario, tetapi turut mempengaruhi kehidupannya sendiri.
“Bagi saya, Yassin adalah sumber rezeki. Sejujurnya, sejak dia tiada, banyak aktiviti saya turut terhenti. Kalau Yassin ada, mesti rezeki banyak sebab dia rajin mencari kerja. Saya tahu bila balik Ipoh, saya boleh berehat… kemudian mesti Yassin telefon beritahu ada ‘show’.”
Tambahnya, Yassin bukan sekadar rakan dalam industri, tetapi individu yang sentiasa berusaha memastikan mereka terus mendapat peluang bekerja.
Wahid turut berkongsi momen terakhirnya bersama Yassin sebelum rakan baiknya itu berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah pada Oktober tahun lalu.
“Saya ada buat video di TikTok dan Instagram dengan lagu ‘Kawan’, dalam tu ada gambar saya peluk dia. Itulah momen terakhir saya bersama dia. Saya tak dapat hantar dia ke lapangan terbang, memang terasa sangat.”
Kehilangan Yassin dari pentas Senario sejak beberapa bulan lalu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat. Walaupun masih aktif memuat naik hantaran di Instagram, ketiadaannya dalam program bersama ahli Senario lain mencetuskan pelbagai spekulasi.
Bagaimanapun, Wahid tetap berharap rakan baiknya itu akan kembali seperti biasa.
Sumber: Oh Bulan
The post ‘Yassin sumber rezeki saya’ – Wahid Senario akui terasa kehilangan appeared first on The Reporter.


