
KUALA LUMPUR - Yayasan Afdlin Shauki melahirkan penghargaan kepada Türkiye atas tindakan pantasnya dalam membantu memastikan pembebasan dan penghantaran pulang aktivis Malaysia yang ditahan di Israel selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Yayasan yang diasaskan pembikin filem, pemuzik dan ahli politik Datuk Afdlin Shauki itu, menyampaikan penghargaan bagi pihak rakyat Malaysia, keluarga peserta flotila dan sukarelawan misi terbabit.
Afdlin berkata penghargaan itu secara simboliknya mengiktiraf "keberanian moral, keikhlasan, dan kemanusiaan sejati" Türkiye dalam menyokong usaha kemanusiaan.
“Penghargaan ini bukan hanya datang daripada saya atau yayasan ini — ia datang daripada hati setiap rakyat Malaysia, keluarga-keluarga peserta flotilla, dan semua yang menjiwai perjuangan kemanusiaan ini," katanya.
Afdlin turut menzahirkan rasa terharunya dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Turki di bawah pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
"Dalam dunia yang penuh ujian ini, Turki telah membuktikan makna sebenar persaudaraan, keberanian, dan kemanusiaan," katanya lagi.
Sebagai tanda penghargaan, penyerahan simbolik terima kasih dan jambangan bunga telah diadakan di Kedutaan Republik Turkiye di Kuala Lumpur pada jam 1 petang di sini, hari ini.
Yayasan Afdlin Shauki berharap penghargaan ini menjadi simbol persaudaraan dan solidariti
antara dua bangsa yang berkongsi nilai kasih sayang, keadilan dan perjuangan untuk kemanusiaan sejagat.
“Atas nama rakyat Malaysia dan semua yang menyertai Global Sumud Flotilla, kami ucapkan
ribuan terima kasih kepada Kerajaan dan rakyat Turki. Semoga Allah SWT membalas jasa dan
kebaikan mereka dengan keberkatan dan rahmat yang berpanjangan,” katanya. - 5 Oktober, 2025
The post Yayasan Afdlin Shauki rakam penghargaan buat kerajaan Turkiye bantu bebaskan aktivis GFS appeared first on Scoop.
