Yayasan Dignity for Children rangkul Anugerah Muhibbah daripada Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia 

14 Jun 2023 • 4:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yayasan Dignity for Children rangkul Anugerah Muhibbah daripada Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia

zulfadli

14/06/2023 - 16:51

KUALA LUMPUR 14 Jun - Yayasan Dignity for Children yang membantu seramai 15,000 kanak-kanak sepanjang 25 tahun penubuhannya telah memenangi Anugerah Muhibbah daripada Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC)-Macrokiosk untuk Jun 2023.

Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu diiktiraf dalam menyediakan penjagaan holistik, pendidikan dan latihan praktikal serta kemahiran perniagaan untuk kanak-kanak miskin bandar di Lembah Klang.

Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan berkata, pihaknya berharap dapat menyemarakkan semula semangat Muhibbah dan membantu mewujudkan Malaysia yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersatu.

"Pemenang bulan ini wajar menerima anugerah tersebut kerana para juri mengiktiraf dan menghargai usaha mereka dalam memupuk semangat muhibbah dan nilai persahabatan tanpa mengira kaum, agama atau kewarganegaraan.

"Yayasan Dignity for Children juga telah membantu kanak-kanak bukan warganegara yang memerlukan. Inilah semangat Muhibbah yang kami iktiraf dan galakkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Macrokiosk, Datuk Kenny Goh pula berkata, usaha NGO itu untuk memutuskan kitaran kemiskinan melalui pendidikan transformatif telah mengagumkan para juri kerana ia sememangnya berjiwa Muhibbah.

"Kami berharap anugerah ini akan terus memberi inspirasi kepada orang lain, serta memberi impak kepada generasi akan datang, untuk terus menjiwai Muhibbah sebagai cara hidup Malaysia kita," katanya.

image is not available

CEO dan Pengasas Bersama Yayasan Dignity for Children, Petrina Shee, beliau menzahirkan penghargaan kepada NPC dan Macrokiosk atas penganugerahan itu kerana diterima tepat pada waktunya memandangkan NGO itu kini menandakan tahun operasinya yang ke-25.

"Anugerah ini pastinya menjadi motivasi kepada kami kelak apabila berhadapan dengan cabaran dalam melaksanakan pelbagai program latihan pendidikan dan vokasional, melalui lain-lain program intervensi dan sokongan untuk pelajar kami," katanya.

image is not available

Pihaknya juga berharap supaya lebih ramai tampil ke hadapan dalam membantu menambah baik kehidupan kanak-kanak ini yang berhak mendapat masa depan yang lebih cerah.

NPC bersama-sama penyedia platform rumusan perusahaan Macrokiosk, melancarkan siri anugerah bulanan pada April lalu untuk mengiktiraf mana-mana individu, kumpulan atau organisasi terbaik dalam menunjukkan semangat sebenar Muhibbah di Malaysia.

Anugerah Muhibbah NPC-Macrokiosk menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, sijil dan baucar daripada Tealive, Jaya Grocer dan llaollao. - DagangNews.com