Yayasan IOIPG santuni 45 anak yatim, suntik semangat bina masa depan

LocalFamily & Parenting
4 May 2026 • 12:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Yayasan IOIPG santuni 45 anak yatim, suntik semangat bina masa depan
Yayasan IOIPG menyantuni penghuni Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah menerusi sambutan Hari Raya Wish Tree di Kajang, baru-baru ini. Foto: IOIPG
Image from: Yayasan IOIPG santuni 45 anak yatim, suntik semangat bina masa depan
Kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah ceria membuka hadiah yang disumbangkan oleh Team IOI dan orang awam. Foto: IOIPG

KAJANG - Seramai 45 kanak-kanak di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah diraikan dalam program sambutan Hari Raya anjuran Yayasan IOI Properties Group (IOIPG) pada 18 April lalu.

Program menerusi inisiatif IOIPG Foundation Hari Raya Wish Tree itu merupakan tahun kedua penganjurannya di pusat jagaan berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu golongan memerlukan.

Sumbangan yang dikumpulkan daripada Team IOI, orang awam serta Yayasan IOIPG berjumlah RM14,166, memberi manfaat kepada penghuni yang berusia antara tujuh hingga 18 tahun dan 13 penjaga.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IOIPG, Kim Teoh berkata, program berkenaan bukan sekadar menyampaikan sumbangan, malah bertujuan menyuntik semangat kepada kanak-kanak untuk terus berusaha dalam kehidupan.

"Pengasas mendiang Tan Sri Dr Lee Shin Cheng yang bermula dari kehidupan sederhana menjadi contoh terbaik bahawa kejayaan boleh dicapai dengan usaha dan pendidikan.

"Kanak-kanak perlu sentiasa bertekad mengatasi cabaran dan menjadikan pendidikan sebagai asas membina masa depan lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

**media[3509952]**

Pada program itu, kanak-kanak menerima pelbagai sumbangan termasuk hadiah dan duit raya hasil tajaan orang ramai serta warga IOI.

Mereka turut disajikan dengan aktiviti santai seperti permainan lari berganti-ganti belon yang menambah kemeriahan sambutan, selain peluang memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengah hari yang disediakan pihak yayasan.

Yayasan IOIPG dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan terus komited meneruskan legasi kebajikan pengasasnya dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kanak-kanak kurang bernasib baik, khususnya dalam aspek pendidikan.

Sejak diperkenalkan pada 2024, program Wish Tree telah dilaksanakan sempena pelbagai perayaan termasuk Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas.

Sepanjang tempoh itu, yayasan berkenaan telah menyalurkan sumbangan kira-kira RM77,250 yang memberi manfaat kepada hampir 147 kanak-kanak dari rumah kebajikan.

Terdahulu, Yayasan IOIPG turut menyumbang sebanyak RM7,651.50 kepada House of Love (Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih) yang menempatkan 26 anak yatim di bawah jagaan 10 penjaga, Februari lalu.