
KUALA LUMPUR - Hala tuju Yayasan Karyawan dalam memelihara sumber rujukan, peneraju promosi dan peringkat pemilikan kepada karya-karya agung perlu diberi lebih perhatian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, yayasan berkenaan yang bakal menyambut ulang tahun ke-30 itu memerlukan peningkatan usaha dan strategi.
Menurut beliau, semua aspek itu perlu dilipat ganda termasuk yang melibatkan promosi karya agung, agar ia dapat dibekalkan di semua jenis sekolah, universiti awam dan fakulti berkaitan.
“Usaha ini boleh diadaptasi dan disegarkan menerusi teknologi kecerdasan buatan dengan semua pihak berkepentingan.
“Ia juga boleh dibuat dengan memperkenalkan semula program Hadiah Bahasa di semua peringkat sekolah dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas kunjungan hormat Pengerusi dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan yang diketuai Pengerusinya, Datuk A. Aziz Deraman di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, pertemuan tersebut menghimbau usaha dilakukan dirinya dan rakan-rakan seperjuangan yang mencintai pelbagai variasi karya agung, hingga membawa kepada penubuhan Yayasan Karyawan pada 1996.
“Penubuhan Yayasan Karyawan bertujuan mengkaji dan menerbitkan Karya Agung Melayu, Karya Agung Dunia Melayu dan Karya Agung Dunia di dalam bahasa Melayu.
“Karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun,” katanya.
Beliau menarik perhatian, usaha menerbitkan Karya Agung Dunia juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
“Badan badan ini juga menjalankan kajian dan penterjemahan ke dalam bahasa Melayu karya-karya agung pilihan daripada tamadun bangsa-bangsa di luar dunia Melayu.
“Antara yang dibincangkan di pertemuan ini ialah berkenaan hala tuju Yayasan Karyawan dalam aspek memelihara sumber rujukan, peneraju promosi dan peringkat pemilikan kepada karya-karya agung,” katanya. - Getaran, 24 Mac 2025
