
SHAH ALAM, 12 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyalurkan bantuan tunai kepada mangsa yang terkesan dalam kejadian ribut di Kampung Melayu Subang 6 April lalu.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya sudah mengenal pasti 74 penduduk terjejas dan sumbangan antara RM500 hingga RM1,000 akan diagih mulai minggu depan.
“Susulan lawatan pada hari kedua kejadian, saya menerima senarai penduduk terjejas daripada ketua kampung. Jumlah bantuan bergantung tahap kerosakan rumah.

“Rumah yang perlu dibaiki dengan segera jika mempunyai kontraktor mereka boleh mulakan dahulu. Yayasan MBI akan aturkan pemberian ihsan bagi menanggung kos bina semula kediaman,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, Azri memberitahu Yayasan MBI juga menunggu laporan tahap kerosakan Sekolah Kebangsaan Subang dari Pejabat Pendidikan Daerah Petaling yang turut dilanda ribut untuk tindakan susulan dari sudut saluran bantuan.
Pada 6 April lalu, puluhan kediaman dan kenderaan mengalami kerosakan susulan kejadian ribut kuat yang melanda Kampung Melayu Subang, sekitar jam 4 petang.
Difahamkan penduduk segera menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan kecemasan selepas melihat banyak pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin.

The post Yayasan MBI agih bantuan mangsa ribut Kampung Melayu Subang minggu depan appeared first on Selangorkini.

