SHAH ALAM, 23 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.3 juta bagi membaik pulih prasarana sekolah dan membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan berkenaan diagihkan kepada sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan tamil.
“Sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, kita telah peruntuk RM1.3 juta untuk pembaikan prasarana sekolah dan menjayakan program PIBG seperti hari sukan, karnival kerjaya.
“Sumbangan diagihkan ini diharap membantu pelajar-pelajar mendapat persekitaran pendidikan kondusif dan infrastuktur yang baik disokong dengan aktiviti bermanfaat dianjur PIBG,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Ahmad Azri memaklumkan sejumlah diperuntuk RM890,000 untuk dana PIBG kepada 890 sekolah seluruh Selangor.
Dana yang diperuntuk itu boleh digunakan untuk urusan menyuarat bulanan, pembelian alat tulis serta perkara yang berkaitan dengan pengurusan PIBG.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut memaklumkan Yayasan MBI mengagihkan sejumlah RM500,000 bagi membantu mangsa banjir, ribut dan kebakaran sepanjang tahun ini.
“Kita telah agih bantuan ini kepada mangsa di 30 pusat pemindahan sementara yang menempatkan penduduk terkesan akibat bencana.
“Terbaharu, sejumlah RM10,000 kita bantu mangsa banjir yang terkesan akibat ban pecah di Sabak Bernam yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara,” katanya.
The post Yayasan MBI peruntuk RM1.3 juta baik pulih prasarana sekolah, bantu PIBG appeared first on Selangorkini.
