SHAH ALAM, 6 MAC: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan segera terhadap mangsa kejadian ribut di Parit 4, Sungai Burong, Tanjong Karang pagi tadi.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan bantuan turut diberikan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4 bagi penggantian bumbung yang bermula esok.
“Rentetan ribut kuat yang berlaku pagi tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan saya turun padang bagi melihat kesan ribut dan memberi bantuan segera yang boleh dilaksanakan kepada mangsa terlibat.

“Saya terus ke destinasi pertama di SK Parit 4 dan mendapati ada kerosakan struktur bumbung di bangunan sekolah, kuarters guru, kantin dan garaj kereta. Menerusi Yayasan MBI, penyelesaian segera dengan mengganti bumbung akan dilaksanakan bermula pagi esok.
“Kemudiannya saya melawat beberapa rumah mangsa ribut di lokasi sama, bantuan segera akan disalurkan bersama koordinasi Pejabat Penyelaras DUN Sungai Burong Maruwan Ahmad,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berharp bantuan itu memberi sedikit kelegaan kepada mangsa terlibat.
Terdahulu, lapan rumah rosak akibat ribut kencang di Parit 4, Sungai Burong pagi tadi, bagaimanapun tiada mangsa cedera atau maut dalam kejadian jam 7.30 pagi itu.
Berikutan kejadian itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 kepada semua mangsa yang kediamannya mengalami rosak teruk.


The post Yayasan MBI salur bantuan kepada mangsa ribut, baiki kerosakan segera appeared first on Selangorkini.

