
KUALA SELANGOR, 12 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan lebih RM150,000 bagi membantu mangsa banjir di beberapa daerah yang terjejas baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu disalurkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dalam bentuk barangan keperluan asas termasuk makanan, tilam, bantal dan cerek elektrik.
“Saya terima maklumat daripada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati ada peningkatan penghuni di PPS dan bekalan tidak cukup. Jadi kita hantar supaya penghuni lebih selesa.
“Ada juga beberapa penghuni yang terlantar akibat kemalangan, jadi esok kita akan hantar dua kerusi roda untuk kemudahan mereka.
“Ini enam atau tujuh PPS yang kita selaraskan bantuan di seluruh Selangor dan hari ini sahaja RM15,000. Secara keseluruhan kita sudah belanja hampir RM150,000 untuk semua PPS yang terima bantuan daripada Yayasan MBI tidak termasuk sumbangan ihsan lain,” katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas agihan bantuan banjir kepada penghuni di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching di sini yang turut dihadiri Penyelaras DUN Bukit Melawati S.Thiban.
Pada masa sama, beliau memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah sedang mempergiat kerja pengorekan di kawasan berkenaan.
“Kerja-kerja pengorekan dan penyelenggaraan parit dan longkang sedang berjalan bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.

Ahmad Azri turut menjelaskan, Yayasan MBI juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas.
“Di peringkat kita bersama MSN dan Sukarelawan Selangor (Serve) dan agensi-agensi universiti bantu kerja pembersihan pasca banjir yang dilaksanakan.
“Selain bantu sediakan peralatan untuk pembersihan kita juga penyediaan makanan untuk sukarelawan. Jika ada keperluan penduduk bantu pembersihan boleh maklum kepada Yayasan MBI sebab kita ada rangkaian strategik yang boleh digerakkan melakukan pembersihan,” ujarnya.
Setakat jam 2.11 petang hari ini, tujuh PPS dibuka di daerah Kuala Selangor menempatkan 1,143 mangsa banjir daripada 317 keluarga.
PPS di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela menempatkan mangsa tertinggi iaitu 393 manakala di SRA Kampung Bukit Kuching pula 283 mangsa banjir.






