
Oleh Dr Amina Josetta Kayani
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif
Kita semua sedia maklum betapa pentingnya pendidikan. Ia adalah kunci kejayaan pada masa hadapan dan juga mempunyai banyak kelebihan kepada individu.
Pendidikan adalah wadah terbaik untuk membantu insan berjaya dalam hidup dan menyalurkan semula kepada masyarakat. Pendidikan berterusan untuk meraih kemahiran baharu boleh dicapai menerusi pelbagai platform seperti sijil tambahan, naik taraf kemahiran, melatih semula kemahiran dan banyak lagi.
Yayasan Peneraju, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi komited menjadi pemangkin kepada warga Bumiputera meraih ilmu dan kemahiran lanjutan dalam bidang-bidang yang kritikal dan mempunyai permintaan tinggi.
Melalui bidang-bidang berkenaan, individu yang menerima faedah berpeluang mendorong ekonomi diri, komuniti, masyarakat dan akhirnya membantu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Salah satu bidang TVET terbaharu yang ditawarkan dengan tajaan hingga 90 peratus adalah sektor penyelengaraan pesawat melalui program AgustaWestland AW139 Aircraft Type Rating. Dijalankan selama 32 hari, program ini menyasarkan golongan bekerja yang berpengalaman dalam industri penerbangan bagi meningkatkan kemahiran dalam pengoperasian penyelenggaraan pesawat.
Kelayakan memohon dibuka kepada lelaki dan wanita Bumiputera berumur 21-45 tahun dan memiliki minimum tiga tahun pengalaman bekerja dalam industri penerbangan. Mereka juga dikehendaki memiliki CAAM Part-66 Category B1.3 atau B2 Aircraft Maintenance Licence (AML) yang sah serta memiliki sekurang-kurangnya satu Aircraft Type Rating di dalam AML atau mereka yang tidak mempunyai Aircraft Type Rating, perlulah bekerja dengan AW139 Aircraft dalam AMO.
Pembiayaan yang ditawarkan adalah hasil libat urus bersama pemain industri yang melihat peluang luas untuk penerima faedah memperoleh kerjaya dengan pendapatan tinggi terutama bagi bidang penyelenggaraan pesawat Agusta AW139.
Model Helikopter AW139 digunakan dengan meluas di Malaysia, antaranya oleh agensi keselamatan seperti Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Maritim Malaysia yang setakat ini diselenggarakan oleh Galaxy Aerospace.
Keputusan sukar meninggalkan pekerjaan lama yang diambil oleh beberapa penerima faedah kumpulan pertama demi merebut manfaat yang ditawarkan menjadi bukti kesungguhan dan keyakinan bahawa program berkenaan dapat menjamin karier masa hadapan mereka.
Dengan mendukung mandat yang diberikan, Yayasan Peneraju komited dalam merealisasi aspirasi dan keazaman individu untuk menggilap potensi diri, meningkat kemahiran dan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.
Melalui program-program pembiayaan bersifat penuh atau separa, Yayasan Peneraju bekerjasama dengan pelbagai pihak dan pakar dari seluruh Malaysia demi memahami cabaran dan kehendak industri. Dengan pendekatan Program Pemupukan dan Pembangunan, Yayasan Peneraju memberi fokus kepada pembentukan individu yang berdaya saing, kebolehpasaran tinggi dan berkebolehan secara menyeluruh.
Objektif Yayasan Peneraju adalah meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi program pembiayaan akademik, pensijilan TVET, profesional, teknologi dan spesialis perubatan. Setakat ini lebih 57,000 individu sudah mendapat manfaat daripada program tajaan menerusi lebih 470 program pengajian. Pelbagai program pembiayaan boleh dimohon melalui www.yayasanpeneraju.com.my.

