
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan memilih Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Baginda bertitah, jawatan itu amat penting dalam memastikan SPRM terus berperanan secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Justeru baginda menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara berkenaan.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (23 April).
Sebagai info, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika ini disandang oleh Tan Sri Azam Baki.
Namun kontraknya dijadualkan tamat pada 12 Mei 2026.
Azam mula dilantik untuk memegang jawatan tertinggi suruhanjaya berkenaan pada 9 Mac 2020 susulan peletakan jawatan Latheefa Koya.
Beliau kemudian telah dilantik semula untuk memegang jawatan sama sebanyak tiga kali berturut-turut dan meneruskan tugas di era pentadbiran tiga Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun sejak beberapa tahun ini terdapat suara-suara yang meminta Azam untuk diturunkan dan digantikan dengan Ketua Pesuruhjaya yang baharu.

Beberapa Ahli Parlimen dari blok pembangkang dan kerajaan termasuk MP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong turut mendesak Azam Baki untuk meletakkan jawatan selepas beliau terpalit dengan dakwaan mempunyai pegangan saham sebanyak 17.7 juta dalam Velocity Capital Bhd seperti yang dilaporkan Bloomberg.
Namun Azam Baki kemudian memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan portal berita antarabanga itu yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan sekaligus menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya tersebut.
Pun begitu, masih ada segelintir yang mahukan Azam Baki terus digantung atau digugurkan.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tak Boleh Brain Macam Mana KP SPRM Boleh Keliru Pasal Saham?” – Rafizi Ramli [Video]
Baca Artikel Berkaitan: 8 Ahli Parlimen PKR Termasuk Rafizi Gesa PM Gantung Tugas Azam Baki, Segerakan Siasatan Bebas
Baca Artikel Berkaitan: “He Go Or We Go” – Ahli Parlimen DAP Desak Azam Baki Letak Jawatan [Video]
Malah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan baru-baru ini mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi jaminan kepadanya yang kontrak Azam Baki sebagai KP SPRM tidak akan disambung.
Dakwa Zahir, perkara itu dimaklumkan Presiden PKR itu sewaktu pertemuan di antara mereka kira-kira sebulan lalu.
Sejarah Azam Baki
Untuk rekod Azam Baki telah berkhidmat selama 36 tahun bersama SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR).
Sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama agensi pencegahan rasuah di Malaysia sejak tahun 1984, Azam Baki telah melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang antaranya sebagai:
- Pegawai Penyiasat
- Pegawai Perisikan
- Pegawai Pendakwaan serta tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.
Beliau juga pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam SPRM, antaranya sebagai:
- Pengarah Bahagian Perisikan
- Pengarah Bahagian Siasatan
- Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi)
Menurut SPRM beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes-kes rasuah berprofil tinggi serta kes melibatkan pengubahan wang haram.






