
KUALA LUMPUR – Yeo’s meneroka cita rasa baharu menerusi pelancaran Yeo’s Teriyaki Tuna dalam tin, yang diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia dalam usaha memenuhi perubahan selera pengguna masa kini.
Produk terbaharu itu menampilkan isi tuna lembut yang dipadankan dengan sos teriyaki berinspirasikan Jepun, menggabungkan rasa savuri dan manis.
Pelancaran berkenaan berlangsung menerusi kempen ‘Yeo’s Itadakimasu – Tuna with a Twist’ yang mengetengahkan cita rasa serta budaya Jepun di The Starhill Ground Floor Piazza, Bukit Bintang, bermula 2 Oktober sehingga esok.
Pengurus Besar Yeo’s Malaysia, Tan Mei Yen berkata, pengenalan Yeo’s Teriyaki Tuna merupakan sebahagian daripada usaha syarikat meneroka perisa baharu yang selari dengan perubahan cita rasa dan gaya hidup pengguna.
“Yeo’s sentiasa didorong oleh semangat inovasi seiring dengan perubahan cita rasa serta gaya hidup pengguna, sambil berpegang teguh pada legasi kami.
“Daripada menjadi antara yang terawal di Malaysia memperkenalkan kari ayam dalam tin hinggalah menawarkan cita rasa yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, kami terus meneroka inspirasi perisa baharu untuk menawarkan pilihan yang lebih segar dan relevan kepada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran tersebut.
Malah menurut Mei Yin, berdasarkan laporan Jabatan Perikanan, sebanyak 431,000 kilogram tuna bernilai RM7.76 juta telah dibawa masuk ke Pulau Pinang pada tahun 2024.
“Jumlah ini mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun 2023, sekaligus mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap tuna dalam landskap makanan laut tempatan.
“Justeru, inovasi terbaharu Yeo’s Teriyaki Tuna amat bertepatan dengan kecenderungan pengguna terhadap pemilihan makanan yang mudah, berkhasiat dan melengkapi pemakanan seimbang,”katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Yeo’s Teriyaki Tuna turut mempunyai kandungan protein yang tinggi serta merupakan sumber Omega-3.
“Selain perisa teriyaki, Yeo’s turut memperkenalkan variasi baharu Yeo’s Chilli Spicy Tuna bagi memberikan pilihan cita rasa berbeza kepada pengguna,”katanya.
Sempena kempen itu juga, Yeo’s turut mengadakan peraduan ‘Yeo’s To Japan Contest – Win Tickets to Japan’ turut berlangsung sehingga 30 November ini dengan 12 pemenang akan dipilih.
Peraduan tersebut menyediakan pelbagai hadiah termasuk produk Yeo’s, tambah nilai Touch ‘n Go, baucar onsen dan hadiah utama berupa tiket penerbangan ke Jepun.
Untuk maklumat lanjut pengguna boleh ikuti Yeo’s Food Malaysia di Instagram @yeosfoodmy, TikTok @yeosfoodmy atau Facebook Yeo’s Food Malaysia. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Yeo’s, sila layari web rasmi di https://yeos.com.my/.-KOSMO! ONLINE
The post Yeo’s perkenal tuna teriyaki pertama di Malaysia appeared first on Kosmo Online.


