
BULAN Ramadan bukan sahaja menjadi waktu untuk meningkatkan ibadah, malah ia turut menjadi platform terbaik untuk membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Sri Nancy Shukri, menyempurnakan Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey, sebuah inisiatif intervensi sosial yang fokus memperkasa remaja perempuan yang memerlukan perlindungan dan jagaan.
Program itu menghimpunkan 100 remaja perempuan berusia 15 hingga 19 tahun dari Program Anjung Sinar YKN, termasuk anak yatim/piatu, mangsa penderaan atau pengabaian, serta remaja di bawah Perintah Mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar aktiviti biasa, tetapi sebuah 'journey' untuk membina jati diri, harapan dan kekuatan dalaman peserta.


“Kita tidak boleh membiarkan mereka berjalan sendirian. Intervensi yang bersifat menyeluruh dan berstruktur seperti ini adalah penting agar mereka mampu bangkit sebagai individu yang berdaya tahan dan bermaruah," jelasnya.
Beliau turut menambah, remaja berada dalam fasa kritikal yang memerlukan sokongan berterusan.
Program berkenaan bertujuan bukan sahaja memerkasa mereka dengan kemahiran hidup, malah membimbing peserta membina keyakinan diri, kestabilan emosi dan kekuatan dalaman yang kukuh.

Perkongsian inspirasi
Pendekatan whole-of-government dan whole-of-society juga dianggap penting untuk memastikan intervensi sosial dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
“Pembangunan insan adalah tanggungjawab bersama. Hanya dengan nilai kemanusiaan yang tinggi dan komitmen kolektif, kita dapat melahirkan generasi yang lebih kuat, berdaya tahan dan berintegriti," jelas beliau lagi.
Program tersebut turut menampilkan sesi perkongsian keselamatan diri oleh SAC Puan Siti Kamsiah Hassan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM.
Peserta didedahkan kepada risiko jenayah seksual dan saluran bantuan yang tersedia, sekali gus memperkukuh literasi perlindungan diri.

Selain itu, slot Journey of Hope memperlihatkan perkongsian inspirasi daripada selebriti Wan Sharmila dan penceramah bebas Ustazah Muzayannah, yang menyentuh isu kekuatan dalaman, penghijrahan diri dan pembinaan harga diri.
Lin Ariffin dari Zayan FM bertindak sebagai moderator, mewujudkan suasana interaktif yang santai tetapi bermakna, membolehkan peserta berkongsi pengalaman secara terbuka.


Pelaksanaan program mendapat sokongan strategik daripada Alliance Islamic Bank dan Kop Mantap Berhad, manakala sumbangan produk dan barangan disalurkan oleh Rockqueen, Dutch Lady, Gardenia, SLAE dan Nabeylla.
Inisiatif berkenaan selaras dengan penerapan nilai teras K.A.S.I.H oleh KPWKM, Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni yang menjadi asas membentuk komuniti remaja yang seimbang, inklusif dan mampan secara holistik.

