Yokai Tales bawa peminat selami kisah mitos, mistik Jepun

7 Sep 2026 • 9:31 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Yokai Tales bawa peminat selami kisah mitos, mistik Jepun

KUALA LUMPUR – Di sebalik kebudayaan Jepun yang sangat di­kagumi itu, terdapat satu segmen unik bagi pelancong tempatan untuk menerokainya khususnya bagi mereka yang meminati tentang dunia misteri, mistik dan mitos yang penuh lagenda.

Bersandarkan kekurangan tersebut tetapi semakin diminati oleh pelancong, sebuah pameran seni antarabangsa yang dikenali sebagai Yokai Tales: Yokai Tales: Japan’s 47 Prefectures, sedang berlangsung sehingga akhir bulan ini di Sky Garden, Menara Kuala Lumpur.

Pameran ini mengajak pe­ngunjung mengenali dunia yokai iaitu mengenai makhluk mitos dan entiti ghaib yang begitu dekat dengan budaya serta cerita rakyat masyarakat Jepun dari pelbagai wilayah.

Yokai memiliki kategori yang luas yang meliputi raksasa, hantu dan makhluk ghaib yang merupakan mitos di Jepun selain menjadi imaginasi sejarah dengan pelbagai watak berani, menakutkan, kuat atau lemah, jahat ataupun baik.

Menurut Pengarah Acara Yokai Tales, Khairunnisa’ Jamal, pame­ran ini menghimpunkan karya asli dalam pelbagai me­dium termasuk arca tanah liat, cat air dan lukisan, yang mengetengahkan interpretasi yokai dari kesemua 47 wilayah (prefektur) Jepun melalui gaya seni tersendiri tiga ilustrator permainan kad dagangan (trading card game) ter­kenal dari Jepun.

Image from: Yokai Tales bawa peminat selami kisah mitos, mistik Jepun

Program tersebut telah di­anjurkan oleh Trading Card Game Kuala Lumpur yang juga mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Ia bertujuan untuk mempromosikan pemahaman antara budaya, mengetengahkan naratif tradisional Jepun, memupuk minat dalam bidang akademik dan pendidikan, menarik minat pencinta seni serta juga menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026

“Daripada roh misteri dan raksasa lagenda hinggalah kisah tempatan yang diwarisi turun-temurun, setiap yokai memberikan gambaran mengenai tradisi, kepercayaan dan daya imaginasi masyarakat di wilayah masing-masing.

“Menerusi karya seni kontemporari, kisah-kisah tersebut dihidupkan semula bagi membolehkan pengunjung memahami hubungan antara budaya setempat, penceritaan dan seni karakter.

“Lebih daripada sekadar sebuah pameran seni, Yokai Tales turut berperanan sebagai jambatan budaya antara Jepun dan Malaysia, memperkenalkan kekayaan cerita rakyat Jepun kepada pengunjung daripada pelbagai pe­ringkat usia dalam bentuk pengalaman yang mudah didekati dan menarik secara visual,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran pameran seni tersebut baru-baru ini.

Majlis pelancaran pa­meran tersebut telah disempurnakan oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Image from: Yokai Tales bawa peminat selami kisah mitos, mistik Jepun

Bersempena pameran tersebut, Yokai Tales menampilkan tiga ilustrator Jepun yang ter­kenal dalam kalangan pengumpul serta peminat permainan kad dagangan dan seni karakter.

Mereka adalah Kouki Saitou yang dikenali menerusi komposisi karakter yang ekspresif serta gaya ilustrasi tersendiri yang memberikan sentuhan bertenaga dan berkarakter dalam interpretasinya terhadap makhluk fantasi dan cerita rak­yat.

Yuka Morii pula terkenal de­ngan karya seni tanah liat yang dihasilkan secara kreatif serta interpretasi karakter dan yokai dalam bentuk tiga dimensi yang unik dan bersahaja.

Selain itu, Kagemaru Himeno popular dengan dengan gaya seni yang elegan dan ilustrasi berfokuskan karakter.

Beliau menampilkan perspektif yang halus serta penuh imaginasi terhadap dunia mitologi dan fantasi Jepun.

Image from: Yokai Tales bawa peminat selami kisah mitos, mistik Jepun

Khairunnisa’ menerangkan, gabungan ketiga-tiga artis ini menghasilkan koleksi yang menginterpretasikan cerita rak­yat Jepun menerusi medium dan pendekatan visual berbeza, sekali gus menghubungkan mitologi tradisional dengan seni kontemporari.

Sepanjang pameran tersebut, peminat Yokai, berpeluang melanggan pakej yang ditawarkan dengan harga RM79 hingga RM1,599 yang memberi peluang kepada mereka bertemu secara langsung dengan para ilustrator tersebut dan membawa pulang poskad dan kad promosi yang ditandatangani oleh para ilustrator tersebut.

Lukisan juga turut dijual dalam pakej-pakej berkenaan.

Khairunnisa’ menambah, selain karya seni, Yokai Tales turut menampilkan pelbagai program awam sepanjang program tersebut bagi menjadikan cerita rakyat Jepun lebih mudah diha­yati dan menarik kepada pengunjung.

Antara aktiviti yang disediakan termasuklah sesi lukisan dan tandatangan artis, demonstrasi lukisan dan arca secara langsung, barangan eksklusif acara, pame­ran karya seni dan juga, lelongan karya seni secara langsung.

“Program-program ini me­nya­sarkan peminat seni, keluarga, pelajar, pengumpul, peminat bu­daya Jepun serta orang ramai yang ingin mengenali kisah di sebalik makhluk-makhluk mitos Jepun.

“Yokai Tales: Japan’s 47 Prefectures meraikan hubungan antara seni, budaya dan penceritaan, selain memberikan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk mengenali cerita rakyat Jepun melalui perspektif artis yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Melalui seni dan penceritaan, Yokai Tales menjadi satu titik pertemuan unik antara budaya Jepun dan Malaysia,” ujarnya.

Tambah Khairunnisa’, konsep pameran ini turut menekankan peranannya dalam menggalakkan pertukaran budaya serta pelancongan, di samping memperkenalkan cerita rakyat Jepun menerusi pengalaman seni yang melibatkan pelbagai deria dan penglibatan secara langsung da­ri­pada pengunjung. -KOSMO! ONLINE

The post Yokai Tales bawa peminat selami kisah mitos, mistik Jepun appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved