
Jika anda penggemar podcast, audio siar terbaharu You Syu’D Know ini mungkin menarik perhatian anda.
Dikendalikan oleh pengacara dan pembaca berita RTM, Syuhaida Ariffin, 31, podcast yang baru bersiaran beberapa bulan ini membincangkan pelbagai topik seperti hiburan, politik, sukan, gosip, kesihatan, teknologi, kewangan dan banyak lagi.
Mengulas tentang kewujudan podcast ini, Syuhada atau lebih mesra disapa Syu memberitahu idea untuk menghasilkan program ini tercetus apabila dirinya ingin mencuba bidang selain daripada pengacaraan dan membaca berita. Dia ingin mencabar diri sendiri untuk keluar daripada zon selesa.
“Idea untuk hasilkan podcast ni sebab saya hendak belajar benda baharu selepas 10 tahun bersama RTM. Saya mahu libatkan diri dalam bidang selain pengacaraan dan membaca berita.
“Walaupun orang kata podcast ini masih punya persamaan kerana saya perlu bercakap di depan kamera, tetapi pendekatannya adalah berbeza. Idea podcast ni macam program bual bicara yang disiarkan di kaca televisyen. Namun, ia menggunakan platform media sosial untuk meraih perhatian umum. Jadi, Saya melihat ini adalah satu cabaran besar buat diri dan saya perlu lakukan untuk keluar daripada zon selesa,” ujar Syu.
Bercerita lanjut tentang You Syu'D Know, Syudaha memberitahu dia mengambil keputusan untuk membicarakan pelbagai isu adalah bertujuan untuk menyampaikan pelbagai jenis maklumat dalam semua aspek kehidupan.
“Saya akan membicarakan pelbagai jenis topik. Daripada yang ringan dan santai, sehinggalah ke isu-isu yang berat. Asalkan topik itu mampu menarik minat dan boleh menyalurkan maklumat kepada orang ramai.
“Oleh itu tetamu-tetamu yang akan hadir ke studio terdiri daripada mereka yang punya latar belakang berbeza. Babitkan orang biasa atau individu yang berpengaruh. Bahasa yang digunakan untuk podcast ini juga tidak terarah kepada satu bahasa. Saya akan campur agar orang mudah faham, sesuai dengan konsep yang santai,” ulas Syu lagi.
You Syu'D Know ini telah bersiaran beberapa episod dan anda boleh mengikutinya di Youtube Channel (You Syu'D Know), Instagram (@yousyudknow) dan Tiktok (@yousyudknow). Antara tetamu yang sudah bertandang ke studio podcast ini ialah Altimet, Marcel, Rima Melati dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa.
Berikut adalah salah satu episod yang mendapat perhatian ramai, termasuklah vokalis kumpulan rock legenda, Search, Amy. Episod yang menampilkan rapper, Altimet ini membincangkan isu melayan karya seni di platform haram atau dahulunya lebih dikenali sebagai cetak rompak.

Kalau anda ingin tahu apa lagi kisah yang didedahkan di ‘You Syu'D Know Podcast’, bolehlah ke salah satu akaun media sosial yang disebutkan di atas. Mungkin boleh tinggalkan komen untuk maklum balas atau penambahbaikan di masa hadapan. - Getaran, 9 Jun 2024


