Bulan Mei lepas, YouTube menguji kaedah baharu bagi menyekat pengguna yang memasang penghalang iklan. Kemudian pada Jun pula, YouTube menguji untuk hanya membenarkan tiga video sahaja dimainkan sebelum disekat sepenuhnya. Selain turut menguji rekaan butang “Skip Ads” yang lebih tersembunyi.
Terbaru, Pengurus Komunikasi YouTube iaitu Christopher Lawton telah mengeluarkan kenyataan kepada The Verge bahawa YouTube kini secara rasminya menyekat pengguna yang memasang penghalang iklan di peringkat global. Ini adalah kerana penggunaan penghalang iklan melanggan terma dan syarat penggunaan perkhidmatan penstriman video mereka.

YouTube turut dilihat tidak lagi membenarkan beberapa video dimainkan, sebaliknya hanya mempunyai pilihan matikan penghalang iklan atau terus melanggan YouTube Premium. Lawton turut menyatakan yang iklan adalah platform ekosistem pencipta kandungan di peringkat global yang membenarkan berbilion pengguna mengakses kandungan kegemaran.
Di Malaysia, YouTube Premium boleh dilanggan pada harga RM17.90 sebulan atau pelan keluarga kongsi dengan lima orang pada harga RM33.90. Pelan untuk pelajar pula adalah RM10.90 sebulan. Setiap pelan langganan ini adalah bebas iklan dan turut termasuk dengan langganan YouTube Music.
- Sumber
- The Verge
