KUALA LUMPUR - Keadaan cuaca yang tidak menentu akibat monsun tidak menghalang kehadiran Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) di Batu Pahat, Johor hari ini.
Kedatangan mereka bersama 1,000 bakul makanan untuk komuniti nelayan dan penduduk terjejas di daerah Tangkak dan kawasan sekitar itu nyata membawa sejuta kelegaan.
Ia sekali gus membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa dan bencana banjir sebelum ini.
Program bermula di Pengkalan Nelayan Parit Karang, melibatkan penyerahan 400 bakul makanan, kepada komuniti nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk kelangsungan hidup.
Penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Mohd Anizam Jamian kepada Timbalan Pengarah LKIM Johor, Mohd Adib Syazwan Mohamad Hassan di Dewan Tan Sri Haji Ghani Othman.
Kelegaan dan rasa terharu jelas terpancar di wajah semua penerima, apatah lagi sebahagian daripada mereka masih bergelut untuk kembali pulih sepenuhnya selepas tempoh cuaca buruk yang menjejaskan pendapatan harian.
Program kemudian diteruskan ke Balai Raya Pekan Sri Medan, dengan penyerahan 600 bakul makanan lagi untuk diagihkan kepada penduduk setempat yang memerlukan.
Bantuan berkenaan diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat, Noor Izza Farha Asimat, bagi memastikan proses agihan berjalan lancar dan sampai kepada golongan sasar.

Selain bantuan makanan, YSIJ turut meluangkan masa mengadakan sesi Ziarah Kasih ke kediaman dua mangsa banjir yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk sebelum ini, iaitu Hasan Ahmad di Parit Ulong dan Maani Sirus di Parit Lapis Simis.
Kedua-dua kediaman tersebut telah melalui proses baik pulih menyeluruh yang ditanggung sepenuhnya oleh YSIJ dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat.
Projek berkenaan kini siap sepenuhnya, sekali gus membolehkan penerima kembali mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa selepas berdepan detik sukar akibat bencana.
Menurut Mohd Anizam, bantuan yang disalurkan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya sebahagian daripada usaha berterusan YSIJ untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, terutama mereka yang terkesan akibat musibah.
“Kami memahami kesukaran yang dihadapi penduduk, khususnya selepas bencana banjir.
“Diharapkan bantuan bakul makanan serta usaha baik pulih rumah ini dapat meringankan beban dan memberi ruang untuk mereka bangkit meneruskan kehidupan,” katanya.
YSIJ sebelum ini konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan melibatkan bantuan makanan, baik pulih kediaman serta sokongan kepada komuniti terjejas di seluruh Johor, sejajar dengan komitmen untuk sentiasa mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka di peringkat akar umbi. - Getaran, 24 Disember 2025




