YTL Cement tawar beli habis baki 46.5% saham Concrete Engineering pada harga RM2.60 sesaham

LocalBusiness & Finance
22 Apr 2026 • 3:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

YTL Cement tawar beli habis baki 46.5% saham Concrete Engineering pada harga RM2.60 sesaham Image from: YTL Cement tawar beli habis baki 46.5% saham Concrete Engineering pada harga RM2.60 sesaham amree22/04/2026 - 15:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 AprilYTL Cement Berhad melancarkan tawaran untuk pengambilalihan secara mandatori tanpa syarat ke atas baki pegangan dalam Concrete Engineering Products Berhad (CEPCO).


Langkah agresif kumpulan tersebut dijangka mengukuhkan kawalan rantaian bekalan bahan binaan, dengan ia mengeluarkan dokumen tawaran bagi memperoleh baki 46.5% kepentingan yang belum dimilikinya.


Pengeluar rumusan bahan binaan bersepadu dan ditubuhkan sejak 1950-an itu menawarkan harga tunai RM2.60 sesaham, dengan tarikh tutup pertama ditetapkan menjelang pukul 5 petang pada 13 Mei 2026.


"Tawaran ini susulan pengambilalihan awal sebanyak 53.49% pegangan dalam CEPCO bernilai RM103.79 juta, sekali gus mencetuskan keperluan tawaran mandatori ke atas baki 34.71 juta saham," katanya.


Menurut YTL Cement, langkah itu selaras strategi perluasan segmen pembuatan konkrit pratuang serta memperkukuhkan integrasi menegak yang merentasi perniagaan simen, batu kuari dan bahan pembinaan.

 

CEPCO


Ujar kumpulan antara pengeluar simen terbesar di Malaysia itu, permintaan terhadap produk konkrit pratuang dijangka meningkat, didorong faktor keperluan kontraktor ke atas produktiviti yang lebih tinggi.


Di samping itu jelasnya, pemaju turut memerlukan tempoh pembinaan lebih pantas serta kecekapan dalam kontrak projek infrastruktur awam, perumahan dan bangunan industri termasuk pusat data (DC).


Syarikat berkenaan pada asalnya dikenali sebagai Malayan Cement Berhad, turut memaklumkan yang ia bercadang untuk masih lagi mengekalkan status penyenaraian CEPCO di Pasaran Utama Bursa Malaysia.


"Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik YTL Cement memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai industri pembinaan, khususnya ketika permintaan ke atas pembangunan dijangka berkembang," katanya.


Dalam dagangan sesi pagi di bursa, saham CEPCO meningkat tiga sen kepada RM2.63, mencerminkan sentimen positif pelabur terhadap tawaran pengambilalihan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard