YTL Construction diarahkan bayar RM180,000 susulan banjir berulang di surau, tanah pertanian di Johor

LocalEnvironment
7 Sep 2026 • 1:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

YTL Construction diarahkan bayar RM180,000 susulan banjir berulang di surau, tanah pertanian di Johor Image from: YTL Construction diarahkan bayar RM180,000 susulan banjir berulang di surau, tanah pertanian di Johor hamden07/09/2026 - 13:05

KUALA LUMPUR 7 Sept - Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengarahkan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (YTL Construction) membayar RM180,000 selepas didapati cuai dan menyebabkan gangguan persendirian berikutan kejadian banjir berulang selama 17 bulan di sebuah surau serta tanah pertanian bersebelahan di Johor.

 

Pesuruhjaya Kehakiman Noradura Hamzah mendapati kerja pembinaan pembetung sementara di Sungai Sebulong yang dilaksanakan YTL Construction sebagai sebahagian daripada Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru telah mengubah aliran semula jadi air dan menyebabkan banjir berulang dari November 2020 hingga April 2022.

 

Mahkamah mendapati sistem saliran sementara yang dibina kontraktor itu tidak mencukupi, selain YTL Construction gagal mereka bentuk, memeriksa dan menyelenggara pembetung sementara dengan sewajarnya, lapor FMT.

 

Menurut Noradura, tiada kejadian banjir besar berlaku di kawasan surau sebelum kerja-kerja YTL Construction dimulakan.

 

Beliau berkata banjir mula berlaku selepas pembetung sementara dipasang dan berhenti selepas pembetung kekal mula beroperasi pada 7 April 2022.

 

Plaintif, Ghazali Ismail, pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan Pembangunan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau Ar Rahman, dan Sharom Othman, pegawai awam Persatuan Komuniti Agro Tiong Larkin Jaya, mendakwa banjir menyebabkan kerosakan kepada surau, barangan keagamaan, perabot, tanaman serta kolam ikan dan udang.

 

YTL Construction nafi liabiliti

YTL Construction sebelum ini menafikan liabiliti dengan berhujah kawasan berkenaan sememangnya mudah dilanda banjir disebabkan kedudukannya yang rendah, hujan lebat dan sampah di sungai.

 

Syarikat itu turut mendakwa kerja pembinaannya telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Bagaimanapun, mahkamah mendapati laporan pelaras insurans YTL Construction, keterangan pihak berkuasa tempatan serta pengakuan saksi kontraktor menyokong tuntutan plaintif.

 

Mahkamah turut mendapati YTL Construction membiarkan pembetung kekal tidak dibuka selama lebih 13 bulan selepas ia siap dari segi struktur.

 

Ghazali diberikan ganti rugi khas RM95,000, manakala Sharom menerima RM20,000.

 

Mahkamah turut memberikan RM40,000 sebagai ganti rugi am bagi gangguan berterusan dan RM25,000 sebagai ganti rugi tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan ganti rugi RM180,000.

 

YTL Construction juga diarahkan membayar faedah 5% setahun ke atas jumlah ganti rugi tersebut serta kos RM120,000.

 

Noradura berkata ganti rugi tambahan itu wajar berdasarkan tindakan YTL Construction, termasuk menyembunyikan perintah henti kerja daripada jurutera perundingnya serta tidak menyerahkan laporan pelaras insurans kepada jurutera berkenaan.

 

Fairuz Abdullah dan Ismail Tahir mewakili Ghazali dan Sharom, manakala Goh Toh Jen mewakili YTL Construction. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved