YTL Power perkukuh kedudukan dalam perkhidmatan pengurusan sisa selepas ambil alih 18.87% kepentingan Ranhill Utilities, kata CGS-CIMB
diyana
02/11/2023 - 09:55
KUALA LUMPUR 2 Nov - CGS-CIMB Securities positif terhadap pengambilalihan 18.87% kepentingan Ranhill Utilities, yang mengukuhkan kedudukan YTL Power International Berhad dalam perkhidmatan pengurusan sisa, selain menambah pendapatan.
Firma penyelidikan itu berkata urus niaga tersebut membina pendedahan YTL Power dalam sektor utiliti Malaysia.
“Harga pengambilalihan mencapai EV/EBITDA (nisbah nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) sekitar 3 kali ganda, dan hasil aliran tunai bebas (FCF) sebanyak 12%, berdasarkan anggaran konsensus Bloomberg 2024, pada pandangan kami, kelihatan menarik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu berkata prospek pertumbuhan Ranhill kelihatan menggalakkan didorong oleh potensi peningkatan permintaan bekalan air di Johor didorong zon ekonomi yang dirancang bagi negeri tersebut.
Selain itu, prospeknya juga disokong oleh pendapatan tambahan daripada kontrak baharu (pada Mac 2023) untuk loji janakuasa gas 100MW (megawatt) di Sabah yang disasarkan beroperasi secara komersial pada 2026.
Ia juga mendapat sumbangan daripada ladang solar berskala besar 4 (LSS4) 50MW sulungnya di Bidor, Perak mulai Disember 2023.
“Bagaimanapun, kami merasakan cabaran utama adalah untuk YTL Power meningkatkan pegangannya secara bermakna kepada akaun ekuiti pendapatan Ranhill,” katanya.
Ranhill memiliki konsesi utiliti air dan aset kuasa, di mana perniagaannya terdiri daripada tiga segmen utama iaitu alam sekitar, tenaga dan perkhidmatan kejuruteraan.
Pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1H23), segmen-segmen berkenaan masing-masing membentuk 65%, 15% dan 20% daripada pendapatan kumpulan.
CGS-CIMB mengekalkan saranan tambah dengan harga sasaran (TP) RM2.40 sesaham.
Pada pukul 9:52 pagi ini, saham YTL Power menokok 2 sen atau 0.9% kepada RM2.20 dengan permodalan pasarannya bernilai RM17.9 bilion. - DagangNews.com


