
Pada 11 September 2024, media melaporkan polis telah menahan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther pada 6 September tahun lalu.
Penahanan itu selepas pihak polis dipercayai menemui sebanyak dua pucuk pistol serta dadah di dalam kenderaan yang naiki oleh Yusoff pada hari yang sama dia ditahan.
Baca Artikel Berkaitan: Ditahan Selepas Polis Jumpa Pistol & Dadah, Ketahui Siapa Yusoff Rawther
Yusoff Rawther dilepaskan dan dibebaskan dari dua pertuduhan
Terbaharu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (12 Jun), melepas dan membebaskan (DNA) Yusoff daripada dua pertuduhan melibatkan pengedaran dadah jenis kanabis dan pemilikan dua pistol tiruan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berusia 32 tahun itu.
Tidak selamat panggil tertuduh bela diri – Hakim
Ketika membaca keputusan, Muhammad Jamil menyatakan bahawa adalah ‘tidak selamat’ untuk memanggil tertuduh membela diri.
“Keadaan tertentu dalam kes ini menimbulkan persoalan sama ada tertuduh mempunyai kawalan eksklusif terhadap senjata dan dadah tersebut.
“Syak wasangka semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan kawalan tertuduh terhadap barangan berkenaan. Oleh itu, kamu dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya dipetik Sinar Harian.
Mendengar keputusan tersebut, Yusoff yang juga cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris dilihat meraup muka tanda kesyukuran.
Yusoff didakwa mengedar dadah jenis kanabis dan miliki dua pistol palsu
Terdahulu, pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Susulan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan minimun 12 kali jika disabit kesalahan.
Dia turut berdepan pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada 12 November 2024 pula, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan untuk memindahkan kes pengedaran dadah ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan.
Dalam kes ini, tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.
Pada September tahun lalu, Yusoff Rawter berdepan dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan satu lagi kes pertuduhan didakwa memiliki 2 pistol tiruan di tepi jalan berhampiran kondominium di Jalan Bukit Kiara Kuala Lumpur pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024.
Polis jumpa pistol dulu, baru jumpa dadah
Untuk info, pihak polis menemui dua pucuk pistol tiruan di dalam kereta yang dinaiki Yusoff di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada jam 9.25 pagi, 6 September.
Pada hari yang sama juga, polis turut menemui dadah jenis kanabis di dalam kereta jenis Nissan Teana itu yang diparkir di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi.
Baca Artikel Berkaitan: Pistol & Dadah Ditemukan Dalam Kereta, Yusoff Rawther Ditahan Polis
Source:
