Yusri harap tiga tonggak segera pulih influenza

Football
28 Nov 2023 • 5:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Pengendali Perak FC Yusri Che Lah (gambar) berharap tiga pemain utamanya segera pulih dan dapat diturunkan dalam aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Perak, Ahad ini.

Tiga pemain berkenaan iaitu Azalinullah Alias, Luka Milunovic dan Aiman Khairul Yusni masih direhatkan akibat dijangkiti Influenza selepas pulang daripada menghadapi perlawanan persahabatan di Indonesia, baru-baru ini.

“Empat pemain menghidapi virus Influenza selain beberapa pemain lagi ada menunjukkan tanda-tanda jangkitan ini dan ia sedikit sebanyak mengganggu percaturan kami.

“Perlawanan menentang Sabah amat penting dalam pemburuan kedudukan dalam liga. Saya perlu menurunkan kesebelasan terbaik bagi memburu kemenangan dan saya harap mereka boleh beraksi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusri berkata ia bukan tugas mudah buat skuad The Bos Gaurus kerana mereka perlu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan penting berhadapan anak buah Datuk Ong Kim Swee.

“Idea dan rancangan kami ialah untuk meletakkan pemain terbaik dalam padang dan kami perlu memilih dengan bijak supaya boleh bermain dengan cemerlang dalam perlawanan penting ini.

“Ketiadaan Azalinullah dan Luka Milunovic merupakan kekosongan besar buat pasukan namun kami perlu positif kerana bagi kami yang penting adalah fokus dan berikan keputusan terbaik kelak,“ katanya.

Perak menghuni tempat ke-11 Liga Super dengan 22 mata, satu mata di belakang Penang FC manakala Negeri Sembilan di tangga kesembilan.

Selepas pertemuan dengan Sabah, Perak akan berdepan Terengganu FC pada 17 Dis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bagi menutup tirai kempen Liga Super musim ini. -Bernama