Gobind harap Facebook jadikan dunia lebih berhubung

28 May 2019 • 9:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berharap Facebook akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dengan peniagaan dan komuniti tempatan untuk mewujudkan dunia yang lebih berhubung.

Beliau berkata, Facebook telah meningkatkan kehadiran dan komitmen di Malaysia, dibuktikan dengan pejabat baharu di sini, ia merupakan langkah penting dalam membantu meningkatkan kemahiran digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka dan dihubungkan dengan seluruh dunia menerusi pendidikan, pandangan jauh dan peralatan untuk berjaya.

"Facebook bekerja di sini adalah penting dan kami berharap untuk melihat lebih banyak lagi. Kami memuji usaha seperti inisiatif ‘Buatan Malaysia, Dicintai Dunia’ yang membantu memperkasakan lebih 2,000 perniagaan di Malaysia untuk melengkapi mereka dengan peralatan untuk mengeksport produk mereka.

"Inisiatif ini turut menawarkan keupayaan digital dalam talian kepada mereka untuk berkembang melangkaui sempadan Malaysia dan meningkatkan peluang pekerjaan," katanya pada perasmian pejabat baharu Facebook Malaysia di Q Sentral di sini, hari ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind turut memuji program latihan percuma dalam Kerangka Facebook yang memberikan latihan kemahiran dan menyediakan peralatan untuk komuniti perniagaan, yang telah memberi dorongan dan keyakinan yang amat diperlukan PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, kementeriannya juga berharap untuk menjalin kerjasama lebih rapat dengan Facebook, terutamanya dalam bidang Penguatkuasaan Standard Komuniti.

"Walaupun sudah diakui akan perlunya untuk segera menangani ucapan berbaur kebencian, terdapat beberapa cara ucapan dan luahan dilakukan yang mungkin memberi ancaman terhadap kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan berkata, Malaysia merupakan negara yang penting kepada Facebook, menyumbang kepada pertumbuhan berterusan syarikat itu di Asia Pasifik.

Beliau berkata, lebih 23 juta rakyat Malaysia menggunakan platform Facebook setiap bulan, untuk berhubung dengan keluarga, rakan, peniagaan dan pelbagai komuniti.

"Ekonomi negara sedang mengalami transformasi sosial dan digital, ditambah dengan desakan bagi pertumbuhan perindustrian, inovasi teknologi dan keusahawanan. Amat menarik untuk menjadi sebahagian daripada ini," katanya. - Bernama