Kementerian Kesihatan cari 12 kubur orang asli

10 Jun 2019 • 5:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GUA MUSANG - Kementerian Kesihatan dengan bantuan agensi berkaitan akan mengesan kubur 12 orang asli di Kampung Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka yang didakwa akibat radang paru-paru atau pneumonia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu penting bagi membolehkan bedah siasat dijalankan terhadap mayat-mayat berkenaan sekali gus mengenal pasti penyakit dan punca lebih tepat berhubung kematian tersebut.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan, terserah kepada polis untuk gali semula kubur mangsa yang ditanam secara adat kerana setakat ini kita dah jalankan bedah siasat terhadap dua mayat yang dikebumikan mengikut cara Islam.

"Kita juga sudah jalankan siasatan berhubung perkara itu di Kampung Kuala Koh tapi sukar mengesan kubur yang didakwa ditanam merata-rata, bila ditanya mereka sendiri tidak tahu," katanya selepas mendengar taklimat dan melawat pesakit orang asli yang dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), di sini hari ini.

image is not available
Dr Dzulkefly (dua dari kiri) ketika sidang media di Gua Musang, hari ini.

Difahamkan kira- kira 50 Orang Asli Bateq yang masih menerima rawatan di tiga hospital di negeri ini termasuk 37 orang di HGM, 12 orang di Hospital Kuala Krai (HKK) dan seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendekati kawasan perkampungan berkenaan berikutan risiko penyakit berkenaan mudah berjangkit.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga memerlukan sedikit masa lagi untuk mengenal pasti punca penyakit yang menyerang masyarakat orang asli berkenaan sehingga meragut nyawa.

"Kita juga perlukan masa untuk kesan secara tepat jenis virus atau bakteria yang terlibat. Kita yakin dalam masa terdekat ia dapat dikenal pasti secara tepat," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, bagaimanapun pihaknya menyangkal dakwaan punca kematian dua penduduk orang asli berkenaan disebabkan kencing tikus atau Tuberculosis (TB).