Zahid harap MCA Berubah Hati, Bantu Kempen PRK Kuala Kubu Bharu

Politics
27 Apr 2024 • 1:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Anthony Loke (dua, kanan) mengiringi calon Kerajaan Perpaduan ke Pusat Penamaan Calon pagi tadi - gambar BERNAMA

HULU SELANGOR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin konflik antara UMNO dan MCA akan dapat diselesaikan dengan baik.

Presiden UMNO itu turut berharap MCA akan berubah hati dan berkempen membantu DAP yang mempertahankan kerusi itu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

"Kami faham perasaan mereka. Bagaimanapun, kami berharap keadaan akan berubah apabila 'kedinginan' (terhadap DAP) reda.

“Kita tidak menjangkakan bilaka jeda dan waktu yang sesuai tapi saya fikir UMNO dan MCA  telah bersahabat. Saya fikir ia dapat disantuni dengan baik,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Komuniti Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai protes MCA terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada PRK berkenaan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata BN memberi sokongan penuh kepada calon DAP dalam PRK kali ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya BN membalas jasa parti itu yang membantu  mereka dalam tiga PRK sebelum ini.

“Terdapat beberapa PRK di peringkat negeri dan Parlimen yang turut didukung oleh kepimpinan DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Maka ketika ini mereka dibantu dengan dukungan  UMNO khususnya BN. Kita merasakan perlu membalas jasa yang telah mereka curahkan ketika PRK di Tioman, Pelangai dan Kemaman.

 “Ini adalah komitmen yang dibuat oleh UMNO dan BN. Kita mendokong kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, maka kita mahu wakil atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) itu dipilih daripada parti kerajaan,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara PH, Perikatan Nasional (PN), dan dua calon bebas.

PH diwakili Pang Sock Tao manakala PN pula diwakili Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut.

Dua calon bebas yang bertanding dalam PRK KKB pula ialah Nyau Ke Xin dan  Hafizah Zainuddin.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. - Getaran, 27 April 2024