Zahid lawat Menara NEC, saksikan penandatanganan perjanjian kerjasama MyDIGITAL dengan Toshiba

20 Feb 2024 • 8:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

TOKYO: MyDIGITAL Corporation menandatangani satu perjanjian kerjasama berhubung perkongsian inovasi dengan Toshiba Digital Solutions Corporation dalam aplikasi teknologi data raya.

Perjanjian rasmi kerjasama strategik kedua-dua syarikat itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation Fabian Bigar dan Pengurus Besar Toshiba Digital Solutions Corporation Naoki Yamaguchi.

Majlis penandatanganan perjanjian itu yang berlangsung di ibu pejabat Toshiba di sini pada Selasa, disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Toshiba Corporation Taro Shimada.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerjasama ini akan menyaksikan Toshiba dan MyDIGITAL melaksanakan satu projek perintis menggunakan data radar cuaca untuk menggalakkan pengurusan ternakan pintar dan perancangan aktiviti dan perjalanan pintar.

Selain daripada peruncitan pintar, meningkatkan daya tahan infrastruktur jalan dan kembara dalam perancangan, meramalkan kawasan banjir untuk tanah pertanian. Sebagai contoh dalam penanaman padi, tanah untuk diusahakan dengan tanaman dan lain-lain tanah rendah di Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Toshiba Corporation di atas sokongan mereka dalam inisiatif ini. Saya mencadangkan data terbuka bukan berkaitan keselamatan sebagai satu sumber tidak digunakan yang wajar diteroka bagi menambah baik masyarakat kita yang memasuki era pendigitalan.

Saya ingin melihat lebih banyak organisasi dari Malaysia dan Jepun bekerjasama dalam ,meneroka data terbuka untuk manfaat kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia telah memulakan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membina kemakmurannya dengan menerima pakai dan membangunkan teknologi baharu.

Beliau berkata Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 41R Negara merupakan bukti komitmen Malaysia untuk mendapatkan kelebihan dengan teknologi baharu dan memanfaatkan peluang yang dibawa teknologi baharu itu.

Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan yang lama dan bersejarah serta berakar dalam kerjasama ekonomi, inovasi teknologi dan pertukaran budaya.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan US$41.21 bilion (RM181.51 bilion) pada 2022.

Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerja tujuh hari ke Jepun, turut melawat Menara NEC.

Semasa lawatan itu, Ahmad Zahid berkata beliau gembira dengan komitmen NEC untuk menyokong cita-cita pendigitalan Malaysia.

“Saya difahamkan terdapat perbincangan sebelum ini antara NEC Malaysia dan MyDIGITAL Corporation untuk bekerjasama dalam pembangunan kemahiran digital bagi profesional di Malaysia. Penubuhan Pusat Kecemerlangan NEC di Sunway Iskandar, Johor mengukuhkan perkongsian kita di dalam bidang ini.

Saya gembira dan ingin menyaksikan pembangunan kemahiran digital di Malaysia,” katanya. -Bernama