Zahid: Tingkat pengeluaran lateks untuk kurangkan import, naikkan harga

1 Apr 2023 • 2:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BAGAN DATUK: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Risda akan menambah depoh pengeluaran lateks bagi meningkatkan pengeluaran komoditi itu di negara ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga bagi mengurangkan kebergantungan import lateks dari luar negara bagi kegunaan industri tempatan.

“Walaupun getah beku masih banyak dikeluarkan, tetapi keprihatinan saya ialah mengeluarkan lebih banyak lateks.

“Ini juga dapat menyelamatkan RM3 bilion bagi import lateks, jika lebih banyak lateks dapat dihasilkan,“ katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Tadarus Al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1444H Peringkat Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai mekanisme memastikan pengenalan harga lantai getah beku akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan penoreh getah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pengeluaran lebih banyak lateks juga membantu harganya ditingkatkan sekali gus membolehkan pekebun dan penoreh getah meraih pendapatan lebih tinggi.

Sebelum ini terdapat cadangan untuk mengkaji menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70 yang diumumkan pada Belanjawan 2023.

Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, hampir 1,500 peserta menyertai program Tadarus Al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1444H Peringkat Parlimen Bagan Datuk yang diadakan di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini. -Bernama