
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Istiqlal di Osaka, Jepun bersama jemaah dari pelbagai negara.
Beliau yang kini berada di Jepun untuk lawatan kerja sejak 17 Feb lepas berkata masjid yang dibina di lokasi strategik itu menjadi antara tempat ibadah terpenting di kawasan itu.
“Masjid ini juga boleh memuatkan sehingga 1,500 jemaah. Sehingga penuh umat Islam memenuhi lima tingkat ruangan solat yang disediakan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau turut berkata semoga perantau-perantau beragama Islam termasuk rakyat Malaysia yang menetap di Osaka berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi. -Bernama

