Zahir Patriotisme Dengan Burger, Asyraf Cipta 'Zinger Gemilang'

Food
27 Aug 2022 • 8:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kelainan Burger Zinger Gemilang ini ialah roti burger resepi sendiri ini dibuat dengan dua warna iaitu merah dan biru dan dimasak bersama kepingan ayam atau daging - Gambar Bernama

Seorang pemilik kedai makan di Kota Sarang Semut dekat Alor Setar, mencipta burger ‘Zinger Gemilang’ bagi menzahirkan semangat patriotisme dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

Asyraf Hashim, 29, mencipta burger bertema Jalur Gemilang itu dengan gabungan roti berwarna merah atau biru, keju berwarna kuning dan mayonis bewarna putih, selain setiap bungkusannya dicetak Jalur Gemilang.

“Ini merupakan tahun kedua kami menyediakan menu ini. Sebagai anak Malaysia, kami fikir apa yang boleh dilakukan untuk turut sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dan dari situlah datangnya idea untuk menyediakan burger Zinger Gemilang ini.

“Roti burger ini, yang dibuat sendiri setiap hari, menggunakan bahan pewarna dibenarkan dan ada dua pilihan warna, merah atau biru yang pelanggan boleh memilih, selain jenis patty (kepingan daging) ayam atau daging,” katanya kepada Bernama, di Alor Setar hari ini.

image is not available
Burger ini akan dijual selama dua minggu bermula semalam dan sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan, mereka akan menjual menu berkenaan sehingga Hari Malaysia pada 16 September depan - Gambar Bernama

Asyraf berkata warna burger itu sendiri menjadi tarikan utama pelanggan, selain rasa istimewa perapan pada isi ayam dan daging.

“Selain itu, kita juga akan letakkan ‘meatkraker’ dan keju mozarela di antara roti dan isi burger yang pastinya akan memberi pelbagai rasa sensasi kepada mereka yang mencuba burger berkenaan,” katanya.

Asyraf berkata burger berharga RM9.90 itu dijual selama dua minggu bermula semalam dan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, mereka akan menjual menu berkenaan sehingga Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

“Kami akan terus menjual burger ini pada setiap tahun sempena Hari Kebangsaan tetapi mungkin inovasinya akan berubah-ubah.

“Tahun lepas, isi burger ayam yang berwarna merah dan biru, tahun ini roti pula dan tahun hadapan mungkin ada kejutan lain pula,” katanya. - Bernama