Zaid, Lip Eng kecam penahanan Rex Tan, gesa bebas serta merta

LocalPolitics
17 Jan 2026 • 12:44 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim, mengkritik penahanan wartawan Rex Tan di bawah Akta Hasutan, menyifatkannya sebagai penguatkuasaan terpilih.

Beliau membandingkan kes itu dengan Ahli Parlimen PAS, Ahmad Marzuk Shaary, yang pada Oktober lalu menulis di Facebook bahawa bukan Islam dan bukan bumiputera menjadi ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam.

"Ini adalah hipokrasi. Amanah berkeras supaya Marzuk disiasat tetapi tiada siasatan dijalankan. Namun polis sangat pantas terhadap Tan," katanya lapor Malaysiakini.

Zaid menegaskan hantaran Marzuk jelas berbaur perkauman, namun tiada tindakan diambil. Sebaliknya, Tan ditahan kerana mengemukakan soalan yang disifatkan “bodoh dan tidak sensitif.”

"Dia sememangnya tidak berfikir panjang… tetap dia bukan seorang penghasut perkauman. Kenyataannya, walaupun mengecewakan ramai penonton, tidak mungkin menyebabkan kekacauan awam atau ketegangan kaum," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula mendakwa pihak berkuasa bersifat menekan dan represif sekali gus menuntut Tan dibebaskan seberapa segera dari tahanan polis.

"Saya menuntut agar bekas wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan, dibebaskan serta-merta daripada tahanan Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ).

"Tan telah memohon maaf secara terbuka, mengakui kesilapannya, menzahirkan penyesalan serta menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis. Dalam keadaan ini, tindakan menahannya selepas tengah malam, setelah beliau dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, adalah bersifat menekan dan represif," katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.

Tindakan itu jelas Lip Eng menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan kesaksamaan dalam penguatkuasaan undang-undang memandangkan ramai tokoh politik yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan sensitif tidak pernah ditahan walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat terhadap mereka.

"Malah, terdapat juga ahli politik yang dikaitkan dengan skandal rasuah sehingga melibatkan rampasan wang berjumlah berbilion ringgit daripada bekas pegawainya, namun masih bebas tanpa sebarang penahanan.

Mengapa layanan berbeza dikenakan terhadap Tan? Adakah undang-undang hanya tegas terhadap individu tertentu tetapi longgar terhadap mereka yang berpengaruh?

"Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum secara terpilih. Amalan ini mesti dihentikan kerana ia mencabul prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara," katanya.

Tan, yang meletak jawatan dari Free Malaysia Today (FMT) semalam, mengemukakan soalan yang dikatakan mengandungi nada perkauman semasa ceramah di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik UK, George Galloway, bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.

Dia ditahan malam tadi selepas dipanggil ke ibu pejabat polis Dang Wangi dan kini disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan. - 17 Januari, 2026

The post Zaid, Lip Eng kecam penahanan Rex Tan, gesa bebas serta merta appeared first on Scoop.